KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Bank Rakyat menjadi bank pertama di Malaysia dilantik Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebagai Mutawalli, iaitu pihak yang mendapat mandat melaksanakan kutipan, pengurusan dan agihan dana wakaf tunai, melalui inisiatif Jariah Al-Barakah.
Pengerusi Bank Rakyat Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata pelantikan rasmi pada 30 Dis 2024 itu merupakan satu penghargaan besar kepada Bank Rakyat, atas kepercayaan diberikan untuk menggalas amanah pengurusan dana wakaf.
“Pelantikan Bank Rakyat sebagai Mutawalli tidak berlaku secara serta-merta, sebaliknya melalui satu proses yang tersusun dan mengambil masa lebih setahun. Ia bermula pada 2 April 2024 dengan kelulusan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan.
“Ia kemudian disusuli dengan beberapa peringkat kelulusan, pemeteraian perjanjian rasmi serta pelantikan rakan strategik. Proses ini selesai sepenuhnya dengan pelaksanaan rasmi Wakaf Tunai Bank Rakyat pada 1 Jun 2025,” katanya.
Sementara itu, Mohd Irwan berkata inisiatif Jariah Al-Barakah, akan menjadi platform rasmi Bank Rakyat untuk menggerakkan kutipan dan pengurusan dana wakaf secara sistematik dan inklusif.
Beliau berkata platform itu akan dikendalikan Jawatankuasa Pengurusan Bersama terdiri daripada wakil MAIWP, Bank Rakyat serta pakar Syariah dan kewangan Islam Prof Dr Azman Mohd Noor dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selaku pengerusi.
“Sebagai institusi kewangan Islam, kami percaya bahawa wakaf bukan sekadar amalan kebajikan, tetapi merupakan satu bentuk pelaburan akhirat yang memberi ganjaran berterusan. Kami menggalakkan masyarakat untuk bersama-sama menyokong dan memperluas manfaat wakaf ini demi kesejahteraan ummah.
“Pelantikan ini merupakan satu langkah penting dalam memperkukuh peranan institusi kewangan dalam menyokong pembangunan ekosistem wakaf negara secara mampan, telus dan berintegriti,” katanya.
Mohd Irwan berkata setiap langkah mencerminkan komitmen Bank Rakyat dan MAIWP terhadap tadbir urus baik, ketelusan dan pematuhan syariah bagi memastikan wakaf dilaksanakan secara amanah dan berkesan.
Orang ramai yang ingin menyumbang kepada dana wakaf tunai ini boleh berbuat demikian melalui pelbagai saluran yang disediakan, termasuk imbasan kod QR, pindahan terus ke akaun Bank Rakyat (1101464122), JomPay menggunakan Kod Biller 26492 atau melalui platform digital ToyyibPay di pautan https://toyyibpay.com/Jariah-Albarakah.
-- BERNAMA