EKONOMI

KERAJAAN MALAYSIA DINAMAKAN PENERBIT BON UTAMA KESELURUHAN BAGI SUKU KEDUA 2025 -- BPAM

02/07/2025 07:32 PM

KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Kerajaan Malaysia dinamakan sebagai penerbit bon utama keseluruhan oleh Bond Pricing Agency Malaysia Sdn Bhd (BPAM) dalam laporan Bond League Tables BPAM bagi suku kedua 2025 (S2 2025), dengan jumlah terbitan keseluruhan RM40 bilion.

BPAM dalam satu kenyataan hari ini berkata kerajaan juga menerbitkan bon paling aktif diniagakan bagi suku dalam tinjauan iaitu sebanyak RM475.11 bilion.

Dalam sektor korporat, Saracap Ventures Sdn Bhd menjadi penerbit bon korporat utama dengan RM1.75 bilion diterbitkan, manakala Cagamas Bhd menerbitkan bon korporat paling aktif diniagakan pada RM1.04 bilion.

Menurut laporan itu, Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) dinamakan sebagai penerbit sukuk utama dengan RM4.80 bilion bagi S2 2025, manakala DanaInfra Nasional Bhd menerbitkan sukuk paling utama diniagakan bernilai RM9.38 bilion.

Malaysian Trustees Bhd dinamakan sebagai pemegang amanah bon utama keseluruhan bernilai RM20.97 bilion, manakala Pacific Trustees Bhd mendahului jumlah terbitan dengan 97 direkodkan pada suku tersebut.

Selain itu, Malaysian Trustees ialah pemegang amanah bon konvensional utama mengikut nilai (RM7.23 bilion) dan pemegang amanah sukuk utama mengikut nilai (RM13.74 bilion).

Sementara itu, laporan tersebut menyatakan bahawa CIMB Investment Bank Bhd ialah penyusun utama keseluruhan dengan nilai RM12.56 bilion merentas 115 terbitan.

“Laporan Bond League Table BPAM merupakan sumber berguna untuk penyelidikan, pemasaran, promosi dan pemprofilan untuk semua peserta pasaran,” kata kenyataan itu.

BPAM ialah satu-satunya agensi penetapan harga bon berdaftar diiktiraf oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan