Daripada Arul Rajoo Durar Raj
ROM, 2 Julai (Bernama) -- Malaysia dan Itali bersetuju untuk mempertingkat hubungan ekonomi yang telah lama terjalin, dengan tumpuan kepada peralihan tenaga yang turut menarik minat Jepun dan Indonesia.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata syarikat tenaga terkemuka Itali, ENI dan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menggabungkan kepakaran dan teknologi mereka untuk melaksanakan projek peralihan tenaga yang berpotensi menjadi satu pencapaian penting di rantau ASEAN.
“Apabila ENI dan Petronas memulakan langkah ini, Perdana Menteri Jepun menghubungi saya untuk menyatakan minat negaranya menyertai usaha ini,” kata beliau pada sesi persidangan Meja Bulat Perkongsian Ekonomi Malaysia-Itali di sini hari ini.
Bulan lepas, Petronas mengumumkan pihaknya memeterai Perjanjian Rangka Kerja Usaha Sama (JVFA) dengan ENI, untuk meneruskan perbincangan dan penilaian terperinci ke arah penubuhan sebuah syarikat usaha sama serantau dalam sektor huluan.
JVFA mencerminkan komitmen bersama kedua-dua syarikat untuk menguruskan gabungan kepentingan huluan terpilih di Malaysia dan Indonesia.
Cadangan usaha sama itu dijangka menjana sehingga 500,000 tong bersamaan minyak sehari (kboepd) dalam pengeluaran mampan, kira-kira tiga bilion tong bersamaan minyak (boe) daripada rizab yang telah dibangunkan dan kira-kira 10 bilion boe daripada potensi penerokaan.
Ia juga bertujuan menyokong aspirasi masa depan kedua-dua organisasi dalam bidang gas dan gas asli cecair (LNG).
Anwar berkata usaha itu semakin mendapat perhatian apabila Presiden Indonesia Prabowo Subianto memaklumkan dalam lawatan singkat beliau ke Jakarta minggu lepas bahawa republik itu berminat untuk menyertai kerjasama dengan ENI dan Petronas.
Perdana Menteri, yang tiba di sini pada Selasa untuk lawatan kerja selama tiga hari, berkata Malaysia berharap dapat bekerjasama erat dengan syarikat-syarikat Itali yang terkenal dengan transformasi perindustriannya yang pesat.
Anwar berkata dalam pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Itali Antonio Tajani sebelum mesyuarat meja bulat, kedua-dua pihak bersetuju untuk memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara.
“Kami turut membincangkan usaha untuk meningkatkan kerjasama strategik dalam pelbagai bidang, termasuk hubungan antara Malaysia dan ASEAN dengan Kesatuan Eropah (EU),” kata beliau.
Dalam ucapannya, Tajani berkata Malaysia kekal sebagai antara lokasi paling strategik bagi syarikat Itali di Asia Tenggara.
“Kami semakin banyak terlibat dalam perniagaan di Malaysia dan berharap untuk mencapai lebih banyak kejayaan pada masa depan.
“Pada masa yang sama, kami terbuka kepada syarikat Malaysia untuk melabur di sini berikutan kami menyediakan koridor ke rantau ini,” katanya.
-- BERNAMA