AM

KELANTAN PANDANG SERIUS ISU KANDUNGAN BESI, MANGAN TINGGI DALAM AIR BAWAH TANAH

02/07/2025 08:51 PM

KOTA BHARU, 2 Julai (Bernama) -- Kerajaan Kelantan mengambil serius isu berkaitan kandungan bahan besi (Fe) dan mangan (Mn) yang tinggi dalam air bawah tanah di negeri ini, kata Timbalan Menteri Besar Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Beliau berkata pihaknya bersedia mendapatkan kerjasama daripada Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) untuk meneliti tahap kandungan bahan terbabit yang mungkin membahayakan kesihatan rakyat.

"Kita memandang serius perkara ini dan akan lihat tahap kandungan bahan ini sama ada boleh membahayakan kesihatan atau tidak. Jika ada, tindakan segera akan diambil dengan bantuan JKNK.

"Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) sudah berusaha sebaik mungkin meningkatkan kualiti bekalan air dan telah mengambil pelbagai langkah untuk menaik taraf perkhidmatan, malah telah mencapai banyak kemajuan selain beberapa perkara masih lagi dalam tindakan," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan media yang mendedahkan kira-kira 600,000 penduduk Kelantan menggunakan air telaga dan telaga tiub berisiko menghadapi masalah kesihatan dalam jangka masa panjang akibat daripada kandungan Fe dan Mn yang tinggi dalam air bawah tanah.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan