KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Pengeluar gula MSM Malaysia Holdings Bhd mengumumkan peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Syed Feizal Syed Mohammad berkuat kuasa esok.
MSM dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata Syed Feizal, 60, meletakkan jawatan atas sebab kepentingan peribadi selepas menerajui syarikat itu sejak Februari 2021.
Syarikat itu juga berkata tiada sebarang perselisihan faham antara Syed Feizal dan lembaga pengarah, serta tiada perkara berbangkit daripada peletakan jawatannya yang memerlukan tindakan daripada pemegang saham.
Sementara itu, MSM berkata Ketua Pegawai Operasi (COO) Kumpulan Hasni Ahmad, 57, telah dilantik sebagai Pemangku CEO Kumpulan berkuat kuasa esok.
Hasni yang memiliki ijazah dalam kejuruteraan kimia dari Clarkson University, Amerika Syarikat, telah berkhidmat sebagai COO MSM sejak 2021 dan sebelum ini memegang peranan dalam pengoperasian kanan di FGV Holdings Bhd.
-- BERNAMA