SHAH ALAM, 2 Julai (Bernama) -- Impian seorang anak muda untuk menceburi bidang kulinari hampir berkubur apabila permohonannya menyambung pengajian di kolej vokasional ditolak sejurus tamat persekolahan.
Namun, segalanya berubah apabila Muhammad Hfiy Haikal Ruslan, 18, menerima nasihat ibunya untuk menyertai Program Perantis Vokasional McDonald’s Malaysia, yang telah membuka lembaran baharu dalam hidupnya.
Setelah setahun, Muhammad Hfiy Haikal akhirnya berjaya menggenggam Sijil Penyeliaan dan Operasi Makanan Segera selepas mengikuti pogram yang dilaksanakan Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia.
“Walaupun saya terlibat dalam kemalangan dan terpaksa berehat selama tiga bulan termasuk koma sebelum ini, pihak McDonald’s Malaysia masih beri peluang kepada saya untuk teruskan belajar. Saya ucapkan terima kasih atas peluang ini,” katanya baru-baru ini.
Muhammad Hfiy Haikal ditemui selepas Majlis Konvokesyen Kali Ke-5 Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia yang meraikan 1,150 graduan penerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 dan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) Tahap 4, baru-baru ini.
Program Perantis Vokasional McDonald’s Malaysia merupakan satu kurikulum yang dibangunkan bersama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia di bawah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN).
Sementara itu, Wak Jenny Azman, 21, berkata modul latihan menerusi Program Perantis Vokasional McDonald’s Malaysia telah memberinya peluang bekerja sambil belajar sekali gus dapat membantu pendapatan keluarga.
Wak Jenny yang kini bertugas sebagai ketua kru dan menguruskan lapan kakitangan di bawahnya berhasrat melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi di McDonald’s.
“Kalau ada rezeki, saya akan melanjutkan pelajaran, dan untuk mereka yang berminat, rebutlah peluang menyertai program ini untuk kita cari pengalaman dan ilmu baharu di sampung tambah kenalan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia Datuk Azmir Jaafar berkata walaupun menghadapi pelbagai cabaran, syarikat makanan segera itu tetap komited untuk memberikan sumbangan positif kepada masyarakat.
Menurutnya, sepanjang mengikuti program berkenaan, pelajar mendapat pelbagai manfaat seperti elaun bulanan, kemudahan asrama, makan minum percuma serta faedah perlindungan insurans dan perubatan.
"Secara keseluruhan, McDonald’s Malaysia membelanjakan sekitar RM40,000 untuk setiap perantis, sepanjang mereka mengikuti program ini.
"Alhamdulillah, apa kami tuai kini telah menjadi hasil. Setelah tujuh tahun melaksanakan usaha ini, lebih 5,000 graduan telah menyertai program ini, dan 80 peratus daripada mereka masih bersama McDonald’s Malaysia untuk mencipta kerjaya bermakna," katanya.
Azmir berkata selain program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang menawarkan pendidikan hingga peringkat Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM), terdapat peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana dan Sarjana Muda ditawarkan kepada pekerja McDonald’s melalui kerjasama dengan universiti tempatan.
Ini termasuk Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) di Azman Hashim International School of Business Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Ijazah Sarjana Muda Industri Perkhidmatan Makanan (Kepujian) di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
"Pendek kata, seorang pelajar lepasan Tingkatan 3 yang menyertai program TVET kami mempunyai peluang untuk belajar daripada peringkat SKM hingga Ijazah Sarjana (MBA) dan Ijazah Sarjana Muda, dengan ditanggung sepenuhnya oleh McDonald’s Malaysia," katanya.
-- BERNAMA