BERITA TERGEMPAR   Malaysia hopes ASEAN-Canada Free Trade Agreement negotiations can be concluded soonest possible for mutual benefit - PM Anwar | 
 EKONOMI

PRESTASI SAHAM TNB TERJEJAS BERIKUTAN KEPUTUSAN MAHKAMAH PERSEKUTUAN

03/07/2025 12:20 PM

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Saham Tenaga Nasional Bhd (TNB) di Bursa Malaysia menyusut dalam dagangan awal hari ini berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkaitan notis penilaian cukai tambahan yang dikeluarkan kepada syarikat itu bagi tahun taksiran 2018.

Setakat 9.40 pagi, saham TNB turun 60 sen atau 4.11 peratus kepada RM14, sekali gus menyumbang 6.0 mata kepada penyusutan indeks penanda aras tempatan, dengan 7.52 juta saham diniagakan.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia semalam, syarikat utiliti tenaga itu memaklumkan Mahkamah Persekutuan telah mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini membenarkan permohonan semakan kehakiman syarikat untuk membatalkan notis penilaian tambahan bertarikh 13 Julai 2020.

TNB berkata notis penilaian tambahan bertarikh 13 Julai 2020 yang dikeluarkan oleh LHDN kepada syarikat bagi tahun taksiran 2018 pada asalnya berjumlah RM1.81 bilion.

“Namun, selepas remisi penalti diberikan oleh LHDN melalui perintah persetujuan bertarikh 29 Dis, 2020, jumlah bersih telah dikurangkan kepada RM1.25 bilion,” kata TNB dan menambah bahawa kenyataan itu perlu dibaca bersama pengumuman terdahulu syarikat antara Julai 2020 hingga Jun 2025.

Sementara itu,  Hong Leong Investment Bank Bhd, dalam satu nota hari ini berkata pihaknya tidak terlalu bimbang terhadap potensi peruntukan cukai sekali sahaja itu.

“Kami tetap yakin TNB akan mencapai penyelesaian konstruktif bersama semua pihak berkepentingan, terutamanya LHDN, bagi mengurangkan kesan terhadap kedudukan kewangan dan aliran tunai syarikat.

“Bagi jangka masa panjang, kami mengunjurkan TNB akan mendapat manfaat daripada asas aset terkawal yang lebih tinggi bermula 2025 di bawah RP4-RP5 (bagi tempoh 2025 hingga 2030), selain peluang tender baharu untuk loji janakuasa gas dan projek tenaga boleh baharu.

“Kami melihat penurunan harga saham dalam jangka pendek sebagai peluang belian untuk pelabur jangka panjang,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan