AM

PENSYARAH HILANG KETIKA MENYELAM SIFATKAN PENGALAMAN SEPERTI LATIHAN KOMANDO

03/07/2025 06:48 PM

BATU PAHAT, 3 Julai (Bernama) --  Pensyarah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Dr Eliza M Yusup menyifatkan dirinya perlu menjadi seperti komando semasa berdepan detik getir dihanyutkan sejauh 1.5 kilometer di perairan Pulau Chebeh, Pulau Tioman, Pahang semasa melakukan aktiviti menyelam, Sabtu lepas. 

Ibu kepada enam anak berasal dari Simpang Renggam, Johor itu berkata beliau hanya bergantung kepada peranti kawalan keapungan (BCD) semasa terapung seorang diri di laut terbuka selama lebih 12 jam sebelum tiba di sebuah pulau. 

“Saya pensyarah, tapi malam itu saya kena menjadi seperti komando. Saya paksa diri untuk jangan panik dan menyakinkan diri kuat dan boleh (mengatasi situasi itu). Saya hanya terbayang muka anak-anak,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Eliza, 44, berkata kejadian berlaku semasa beliau yang memiliki lesen penyelam penyelamat menyertai kumpulan penyelam sebagai aktiviti fun dive, membantu seorang penyelam wanita yang panik selepas tertelan air dan gagal mengimbangi tekanan. 

Beliau pantas membawa wanita itu ke permukaan air dan menghantarnya ke bot, dan selepas itu kembali semula menyelam apabila mendapat ‘lampu hijau’ daripada pengendali bot. 

“Namun saya tidak menemui sesiapa. Bila naik ke permukaan air, bot sudah jauh. Saya lambai dan menjerit, tapi tiada siapa nampak,” katanya.

Eliza berkata kejadian berlaku pada 11 pagi dan menjelang 7.30 malam, beliau mula keletihan dan telah muntah beberapa kali kerana dilambung ombak. Beliau akhirnya merasa kakinya melanggar sesuatu pada 11.30 malam sebelum menyedari berada di sebuah pulau. 

Beliau bermalam di pulau itu dengan bersandar pada batu dan keesokan pagi, semasa menjelajah pulau, menemukan tulisan ‘Tulai’ serta sebuah bangku, sekali gus menguatkan keyakinannya bahawa pulau itu dikunjungi untuk aktiviti air. 

“Saya minum sisa dalam botol air mineral dijumpai dan duduk bawah pokok jambu sambil melihat jika ada buah, tapi tiada,” katanya yang berkhidmat di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan UTHM sejak 2008.

Melihat sebuah bot menghampiri pulau pada 7.30 pagi, beliau terus melambai serta menjerit namun hanya berasa lega apabila mereka menariknya menaiki bot tersebut. 

“Saya diberi air dan biskut. Hanya satu susuk yang saya nantikan iaitu jurulatih selam dan saya menangis apabila nampak dia. Bukan sebab trauma tetapi kerana rasa bersalah menyusahkan semua orang,” katanya yang mengakui tidak serik untuk melakukan aktiviti menyelam iaitu selepas ini pada September. 

Beliau berharap pengalamannya juga dapat dijadikan pengajaran oleh penyelam lain supaya jangan terlalu yakin dan sentiasa mengamalkan prinsip selam selamat.

-- BERNAMA



 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan