BERITA TERGEMPAR   Malaysia hopes ASEAN-Canada Free Trade Agreement negotiations can be concluded soonest possible for mutual benefit - PM Anwar | 
 AM

MALAYSIA SERU PENDEKATAN INOVATIF DALAM EKONOMI HIJAU, TEROKA KERJASAMA DENGAN UNIDO

03/07/2025 06:52 PM

PUTRAJAYA, 3 Julai (Bernama) -- Malaysia menyeru pendekatan inovatif dalam ekonomi hijau dan komited meneroka kerjasama dengan Pertubuhan Pembangunan Perindustrian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIDO) dalam pembangunan taman perindustrian rendah karbon.

Menurut kenyataan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), menteri berkenaan Nga Kor Ming dalam kapasiti sebagai Presiden Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat), membuat gesaan itu semasa Sidang Kemuncak Bandar Dunia (WCS) 2025 yang berlangsung di Vienna, Austria dari 2 hingga 4 Julai.

Bersempena dengan WCS 2025, Nga mengadakan pertemua dua hala dengan Ketua Pengarah UNIDO Gerd Müller di Pusat Antarabangsa Vienna, sebuah mercu tanda ikonik yang menempatkan lebih 20 organisasi antarabangsa di bawah sistem Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Dalam pertemuan itu, Nga mencadangkan pembangunan garis panduan antarabangsa bersepadu antara UN-Habitat dengan UNIDO untuk bangunan industri hijau," menurut kenyataan itu hari ini.

Di bawah kerangka cadangan itu, UN-Habitat akan menyokong penerimaan dan pelaksanaan piawaian itu dalam kalangan pihak berkuasa tempatan di seluruh dunia manakala UNIDO akan bertindak sebagai badan akreditasi untuk bangunan yang mematuhi kriteria ditetapkan.

"Cadangan ini, yang bertujuan mengurangkan pelepasan karbon dari bangunan industri dan menggalakkan pembangunan taman perindustrian rendah karbon, diterima baik oleh Müller," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Nga berkata pembangunan mampan mesti berteraskan penciptaan pekerjaan dan pembangunan ekonomi yang inklusif, sama ada di kawasan bandar atau luar bandar.

"UNIDO memainkan peranan penting dalam transformasi ini, terutamanya melalui tumpuan terhadap ekonomi kitaran, pembuatan hijau dan industri pertanian.

"Masa untuk bertindak ialah sekarang. Kita perlu mewujudkan pekerjaan dan memperkasakan pihak berkuasa tempatan sebagai sebahagian daripada laluan ke arah bandar yang hijau dan inklusif serta kita perlu memastikan kemajuan yang dicapai berasaskan inovasi dan hasil yang boleh dinilai," katanya.

Satu lagi hasil penting daripada pertemuan itu ialah persetujuan bersama untuk mengaktifkan semula memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh UNIDO dan UN-Habitat pada 2017, dan kedua-dua pihak bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam inisiatif berdaya tahan iklim dan memperkasakan pihak berkuasa tempatan, dengan tumpuan di kawasan luar bandar.

Dalam pada itu, Nga turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Datuk Bandar Vienna Dr Michael Ludwig, bersama-sama dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif dan Duta Besar Malaysia ke Austria dan Slovakia Ikram Mohammad Ibrahim.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan