DUNIA

GOOGLE DIARAH BAYAR US$314 JUTA DALAM SAMAN KELOMPOK DATA TELEFON PINTAR

03/07/2025 11:31 PM

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama-Reuters) -- Juri di California mengarahkan Google membayar lebih US$314 juta (RM1.48 bilion) kepada pengguna telefon pintar Android di negeri itu berhubung dakwaan yang syarikat itu menyalahgunakan data telefon mudah alih tanpa kebenaran pengguna.

Reuters melaporkan juri mendapati Google bertanggungjawab kerana menghantar dan menerima data daripada peranti Android walaupun ketika ia tidak digunakan, tanpa kebenaran pengguna - sesuatu yang digambarkan dalam tuntutan saman itu sebagai “beban wajib dan tidak dapat dielakkan” yang dikenakan untuk kepentingan syarikat.

Keputusan itu dibuat dalam satu saman kelompok yang difailkan pada 2019 bagi mewakili kira-kira 14 juta pengguna Android di California.

Pihak plaintif mendakwa Google menggunakan data yang dikumpul daripada telefon yang tidak aktif untuk tujuan seperti iklan tersasar, yang turut menggunakan data mudah alih pengguna atas kos mereka sendiri.

Jurucakap Google Jose Castaneda berkata syarikat itu akan merayu keputusan itu sambil menyatakan yang keputusan itu “salah faham terhadap perkhidmatan yang penting untuk keselamatan, prestasi dan kebolehpercayaan peranti Android.”

Peguam plaintif Glen Summers berkata keputusan itu “membuktikan secara jelas kesahihan tuntutan ini dan mencerminkan betapa seriusnya salah laku Google.”

Google berhujah di mahkamah yang pengguna memberikan kebenaran melalui terma perkhidmatan dan dasar privasi dan tiada kerosakan sebenar berlaku.

Reuters turut melaporkan bahawa satu lagi saman persekutuan yang berasingan dengan tuntutan serupa bagi pengguna Android di 49 negeri AS lain dijadualkan untuk perbicaraan pada April 2026.

-- BERNAMA-REUTERS

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan