EKONOMI

SEMAKAN SST TIDAK WAJAR DIJADIKAN ALASAN KENAIKAN KADAR HOTEL - MOF

04/07/2025 05:55 PM

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Kementerian Kewangan (MOF) menegaskan bahawa semakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) tidak sewajarnya dijadikan alasan untuk menaikkan kadar bilik hotel.

Kementerian itu berkata semakan SST yang berkuat kusa pada 1 Julai tidak melibatkan sebarang perubahan kepada cukai perkhidmatan yang dikenakan ke atas penginapan hotel atau makanan dan minuman F&B yang disediakan di hotel.

"Semakan SST tidak memberi kesan ke atas barangan keperluan harian asas, namun mungkin memberi kesan tidak langsung kepada hotel melalui peluasan skop cukai perkhidmatan ke atas penyewaan premis komersial serta cukai jualan ke atas makanan tertentu seperti makanan laut premium dan buah-buahan import.

"Bagaimanapun, kesan tidak langsung ini dijangka tidak menyebabkan peningkatan kos operasi hotel sehingga 10 hingga 15 peratus," kata MOF.

Kementerian tersebut berkata demikian kepada Bernama ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan kenaikan kadar bilik hotel susulan peluasan skop SST seperti dakwaan beberapa persatuan hotel.

Persatuan itu mendakwa sesetengah pengusaha hotel perlu menaikkan harga bilik sebanyak 10 hingga 15 peratus berikutan semakan struktur cukai tersebut.

MOF berkata sekiranya terdapat hotel yang menaikkan kadar bilik dengan alasan SST, kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan meneliti perkara tersebut bagi mengelakkan kenaikan harga yang tidak munasabah.

"Jika terdapat hotel yang menaikkan kadar bilik sehingga 15 peratus dengan alasan SST, kerajaan melalui KPDN akan meneliti kesan sebenar SST terhadap hotel-hotel terbabit bagi memastikan tiada unsur pencatutan," katanya.

-- BERNAMA  

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan