AM

LEBIH 50,000 PENGUNJUNG DIJANGKA MERIAHKAN HKN 2025 DI MELAKA

05/07/2025 04:36 PM

MELAKA, 5 Julai (Bernama) -- Lebih 50,000 pengunjung dijangka memeriahkan Hari Koperasi Negara (HKN) 2025 yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini selama tiga hari bermula 25 Julai ini.

Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Lt Jen (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal berkata sambutan HKN 2025 yang bertema “Koperasi Pemacu Ekonomi MADANI” itu melibatkan pembukaan 200 reruai pelbagai kategori koperasi, agensi, kementerian dan peniaga.

Beliau berkata pelbagai acara dan aktiviti menarik menanti pengunjung dengan pelancaran HKN 2025 dijangka disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Julai.

"HKN dianjurkan untuk memperkenalkan kepada masyarakat tentang gerakan, peranan atau fungsi koperasi di negara ini sekali gus menarik minat mereka agar lebih banyak koperasi dapat ditubuhkan pada masa akan datang.

"Sekarang ini, kita mempunyai 16,284 koperasi terdiri daripada koperasi mikro sehingga premier dengan jumlah keahlian kira-kira 7.22 juta," katanya kepada pemberita di Banda Hilir di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Prapeluncuran HKN 2025 yang turut dihadiri Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin.

Ahmad Norihan berkata penubuhan koperasi merupakan antara inisiatif untuk meningkatkan taraf ekonomi komuniti menerusi pelbagai aktiviti ekonomi yang berpotensi digerakkan sekali gus menoktahkan kemiskinan.

Beliau berkata antara golongan sasar yang dilihat berpotensi menubuhkan koperasi antaranya masyarakat luar bandar, komuniti wanita, Orang Asli, Felda, bekas tentera dan polis.

Sementara itu, Seah berkata jumlah koperasi di negeri ini meningkat dari tahun ke tahun dan kerajaan negeri menerusi SKM sentiasa bersedia membantu komuniti yang ingin menubuhkan koperasi.

"Pada tahun lepas, lebih 400 koperasi direkodkan di Melaka dan jumlah itu kini mencecah lebih 500 buah," katanya.

Majlis Prapeluncuran HKN 2025 melibatkan pelepasan 20 beca membawa Ahmad Norihan, Seah dan tetamu kehormat lain sehingga ke Jeti Quayside Melaka untuk menaiki dua teksi air.

Kesemua beca dan teksi air berkenaan turut membawa bahan hebahan berkaitan penganjuran HKN 2025.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan