IPOH, 5 Julai (Bernama) -- Seorang peniaga air kelapa cedera selepas gerainya dirempuh sebuah kereta dinaiki pasangan warga emas dalam kejadian berhampiran Kuarters Polis Daerah Kuala Kangsar di sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata lelaki berumur 73 tahun yang memandu kereta Proton Saga serta isterinya berusia 69 tahun turut mengalami kecederaan.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan pada 11.35 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Kereta yang dinaiki pasangan suami isteri itu terlebih dahulu melanggar kereta Honda City yang diletak di tepi jalan sebelum merempuh gerai milik wanita berusia 49 tahun berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata kesemua mangsa dihantar ke hospital menggunakan ambulans dan operasi tamat kira-kira 20 minit kemudian.
-- BERNAMA