AM

WRUR BUKTI KOMITMEN KERAJAAN MELAKA SELESAIKAN ISU RAKYAT

05/07/2025 05:41 PM

JASIN, 5 Julai (Bernama) -- Pelaksanaan program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) membuktikan  komitmen Kerajaan Melaka dalam merakyatkan pentadbiran menerusi pendekatan turun padang, sekali gus memberikan hasil serta kebaikan kepada rakyat.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata pelbagai isu tertangguh berjaya diselesaikan menerusi program itu dan suara rakyat diberikan perhatian sewajarnya oleh agensi serta jabatan berkaitan.

“Ini selaras dengan agenda utama kerajaan negeri dalam merakyatkan pentadbiran, kita tidak mahu lagi wujud tembok antara kerajaan dan rakyat, sekali gus membentuk sebuah pentadbiran yang mendengar rintihan dan menyelesaikan masalah secara tuntas.

“Apabila kita turun padang, hasilnya benar-benar dapat dirasai dan kita akan usahakannya secara bersungguh-sungguh,” katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Penutup WRUR Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Azhar Arshad dan Penyelaras DUN Bemban Mohd Raziff Yakop.

Ab Rauf berkata sepanjang tempoh dua minggu pelaksanaan WRUR di DUN Bemban itu, sebanyak 148 program berjaya dilaksanakan meliputi pelbagai aspek yang menyentuh keperluan rakyat secara langsung.

Beliau berkata dalam tempoh sama, kerajaan turut menerima dan menyantuni 106 aduan rakyat dan daripada jumlah itu, 92 isu berjaya diselesaikan, manakala selebihnya masih dalam tindakan.

“Kejayaan ini hasil sinergi yang kuat dan jitu daripada semua pihak termasuk pemimpin masyarakat, jabatan dan agensi negeri mahupun Persekutuan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Program WRUR ini akan diadakan di DUN seterusnya, selain memperincikan setiap isu dan aduan diterima sehingga ke akar umbi bagi menyelesaikan setiap masalah rakyat,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) memperuntukkan RM19.03 juta kepada tiga sekolah di DUN Bemban bagi memperkasakan infrastruktur dan kemudahan pendidikan.

Ab Rauf berkata ia termasuk pembinaan bangunan gantian kantin dan membina dewan terbuka berbumbung di Sekolah Kebangsaan (SK) Kesang Tua dan pembinaan bangunan baharu makmal sains tulen di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Perak.

“Selain itu, pembinaan semula bangunan daif di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SKJC) On Lock,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan