JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS BURU LELAKI PAKISTAN DISYAKI LIWAT, CABUL KANAK-KANAK

05/07/2025 08:14 PM

SHAH ALAM, 5 Julai (Bernama) -- Polis sedang memburu seorang lelaki warga Pakistan yang disyaki meliwat dan mencabul tiga kanak-kanak serta seorang remaja lelaki di sekitar Seksyen 27 dan Seksyen 28 di sini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata pihaknya menerima empat laporan membabitkan mangsa berusia sembilan, 13, 14, dan 19 tahun bermula April hingga kini.

Beliau berkata kesemua insiden itu dipercayai dilakukan oleh individu yang sama berdasarkan modus operandi suspek yang pada mulanya meminta pertolongan daripada mangsa lalu dibawa ke kawasan sunyi sebelum meliwat atau mencabul mangsa.

“Sebanyak empat kertas siasatan telah dibuka dengan dua disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 manakala dua lagi di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.  

Mohd Iqbal berkata suspek yang berusia 25 tahun itu tidak bekerja dengan alamat terakhirnya di sebuah flat di Seksyen 27, di sini dan mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah Insp Siti Mahanira Mahat di talian 017-6444895. 

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan