AM

PROGRAM ROAD TO HPPNK PLATFORM RAPATKAN KERAJAAN, KOMUNITI AGRO DI SABAH

05/07/2025 11:23 PM

TAWAU, 5 Julai (Bernama) -- Program Road to Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) yang dilaksanakan di Sabah tahun ini menjadi platform terbaik mendekatkan kerajaan dengan komuniti agro di negeri ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata peladang, penternak dan nelayan di Sabah merupakan antara tunjang keterjaminan makanan negara yang perlu dihargai.

"Melalui program ini kita meraikan peladang, penternak dan nelayan yang berusaha menyumbang kepada sektor agromakanan negara, kita juga mahu mengurangkan jurang di antara kerajaan dengan pihak berkepentingan, pemain industri, pengeluar dan usahawan supaya sektor ini dapat dipertingkatkan.

"Saya lihat program dua hari Road to HPPNK yang diadakan di sini bermula hari ini mendapat sambutan meriah, sasaran kita dalam program ini adalah 20,000 orang pengunjung dan saya rasa tidak ada masalah untuk kita mencapai sasaran itu, kita percaya ramai lagi akan berkunjung," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Road to HPPNK@Tawau kendalian Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di dataran Majlis Perbandaran Tawau di sini hari ini.

Sebanyak 12 reruai jualan Agro Madani dan 40 reruai usahawan serta tujuh reruai pempamer terlibat dalam Road to HPPNK di sini dengan sasaran nilai urus niaga RM100,000. 

Arthur dalam pada itu berkata program sama akan turut dilaksanakan di Sook, Keningau pada 18 hingga 20 Julai ini sebelum HPPNK 2025 berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu pada 1 hingga 3 Ogos ini.

Sementara itu dalam ucapannya beliau berkata sektor agromakanan Sabah menyumbang sekitar 7 hingga 10 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri setiap tahun. 

"Sabah juga merupakan antara penyumbang utama kepada industri perikanan negara, 14.5 peratus kepada perikanan tangkapan dan 45.6 peratus kepada sektor akuakultur di Malaysia," katanya.

Arthur memaklumkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memperuntukkan RM86.66 juta kepada Sabah tahun ini bagi melaksanakan 42 projek pembangunan pertanian, perikanan dan ternakan.

Menurutnya pelbagai inisiatif dijalankan kementerian bagi membantu golongan agro di Sabah antaranya penyaluran elaun sara hidup nelayan menerusi LKIM yang memberi manfaat kepada 7,496 nelayan.

"Skim subsidi diesel dan petrol turut diteruskan dengan 5,600 nelayan Sabah menerima manfaat harga subsidi RM1.65 seliter, selain itu, RM2 juta disalurkan di bawah Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) di Sabah termasuk RM300,000 di Tawau yang memanfaatkan 15 keluarga. 

"Di samping itu, Tabung Bantuan Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan (TBBAKN) sehingga Mei 2025 telah memberi manfaat kepada 74 nelayan di Sabah," katanya.

Pada program sama, Arthur turut melepaskan konvoi bermotor Road To HPPNK 2025 yang akan menjelajah ke beberapa daerah di Sabah termasuk Sandakan, Nabawan, Keningau, Papar dan Kota Kinabalu sebelum berakhir di SICC.

Penduduk Tawau dan daerah sekitar yang berkunjung pada program dua hari di sini berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik seperti Fun Run, persembahan artis, pertandingan e-sukan dan Tawau Idol.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan