AM

KELANTAN PERKUKUH KEDUDUKAN SEBAGAI HAB SERANTAU PERUBATAN SENAMAN

06/07/2025 12:01 AM

KOTA BHARU, 5 Julai (Bernama) -- Kelantan terus memperkukuh peranannya sebagai hab serantau dalam bidang Perubatan Senaman menerusi penganjuran Persidangan Dunia Senaman dan Perubatan Regeneratif (WCERM) edisi ke-7 yang menghimpunankan perwakilan dari 18 negara.

Timbalan Menteri Besar Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kerajaan negeri berbesar hati untuk menganjurkan persidangan berprestij itu yang mencerminkan komitmen bersama masyarakat global dalam memperkasa sains, perubatan regeneratif dan kemajuan kesihatan awam. 

“Persidangan ini bukan sahaja menjadi wadah perbincangan saintifik, malah membuka ruang kepada jalinan kerjasama strategik serta pertukaran ilmu yang memberi manfaat sejagat,” katanya ketika berucap pada majlis jamuan malam rasmi sempena persidangan itu di sini, hari ini.

Menurut beliau, sejak 2017, kerajaan negeri secara konsisten mempromosikan bidang Perubatan Senaman menerusi kerjasama dengan Asia College of Exercise Medicine dan rakan-rakan antarabangsa lain bagi menangani cabaran kesihatan berkaitan gaya hidup.

“Dengan sokongan padu pelbagai pihak, Perubatan Senaman diperkenalkan bukan sahaja sebagai bidang akademik tetapi turut diangkat sebagai strategi kesihatan awam yang menyeluruh demi meningkatkan kualiti hidup rakyat,” katanya.

Beliau berkata pendekatan itu menyaksikan Kelantan muncul sebagai penyokong utama di peringkat serantau dalam menangani masalah kurang aktiviti fizikal, obesiti dan penyakit kronik yang boleh dicegah, selaras dengan dasar kesihatan negeri.

Majlis makan malam berkenaan turut dihadiri golongan profesional kesihatan, penyelidik serta pembuat dasar dari pelbagai negara, sekali gus memberi peluang kepada para delegasi antarabangsa untuk mengenali budaya serta hospitaliti masyarakat Kelantan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan