EKONOMI

MYSALAM CIPTA REKOD MBOR MENERUSI SIARAN LANGSUNG 24 JAM DI TIK TOK

06/07/2025 07:21 PM

TAWAU, 6 Julai (Bernama) -- Skim perlindungan takaful nasional, mySalam, yang diuruskan Great Eastern Takaful Berhad, mencatat sejarah tersendiri apabila diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR)  selepas berjaya melaksanakan siaran langsung literasi kewangan terpanjang selama 24 jam tanpa henti menerusi Tik Tok LIVE.

Siaran langsung berkenaan yang bermula pada pukul 12 tengah hari semalam menerusi akaun rasmi TikTok @mysalamofficial diadakan sempena Karnival Celik Kewangan di Eastern Plaza di sini.

Ketua mySalam, Syuhaib Ithnin  berkata program bertemakan #24jJamBijakWang itu berjaya meraih sambutan menggalakkan dengan mencatat lebih3.2 juta tanda suka, 12,000 komen, 2,000 perkongsian serta 17,000 tontonan sepanjang tempoh bersiaran.

"Kita meletakkan penanda aras baharu dalam pendidikan kewangan dengan pendekatan yang lebih inovatif, selari dengan perkembangan dunia digital.

Ïnisiatif ini diterajui  mySalam bersama Financial Education Network (FEN) dengan sokongan Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dan rakan digital rasmi Tik Tok Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sijil pengiktirafan MBOR kerpada mySalam di sini hari ini.

Sijil berkenaan disampaikan Pegawai MBOR Edwin Yeoh Tiong Chin kepada Syuhaib.

“Sepanjang siaran langsung itu, pelbagai topik literasi kewangan diketengahkan termasuk isu penipuan kewangan, asas pelaburan, perlindungan takaful, perancangan cukai, pengurusan hutang dan zakat.

“Turut dikongsikan ialah kisah inspirasi daripada pempengaruh media sosial seperti Abang Tukang Masak dan Ahyat Ishak,” katanya.

Syuhaib menjelaskan objektif utama misi #24JamBijakWang bukan sekadar untuk mencipta rekod, sebaliknya menunjukkan bagaimana penggunaan platform digital mampu mengubah pendekatan konvensional dalam pendidikan kewangan.

Menurutnya inisiatif itu bukan sekadar kempen tetapi satu gerakan untuk memperkasa masyarakat membuat keputusan kewangan yang bijak, membina daya tahan terhadap cabaran ekonomi dan mewujudkan kesejahteraan kewangan jangka panjang.

“Ini hanyalah permulaan. Kita akan terus meneroka pelbagai strategi dan kaedah untuk menyampaikan mesej literasi kewangan secara lebih berkesan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan