KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) -- Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) mencipta sejarah tersendiri apabila muncul juara baharu Kejohanan Ragbi MCKK Premier 7’s 2025 selepas menewaskan juara bertahan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) pada aksi final kategori Cup di padang Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) hari ini.
Kemenangan 17-12 itu membolehkan SSMP merangkul kejuaraan sulung mereka pada edisi ke-13 kejohanan berprestij berkenaan, sekali gus menamatkan penguasaan SSTMI yang sekian lama mendominasi saingan.
Disiplin permainan dan ketangkasan pemain menjadi kunci utama kejayaan SSMP, dengan prestasi cemerlang ditampilkan oleh Muhammad Ammar Zidan Mohd Zaid yang turut menerima gelaran Pemain Terbaik Zaharuddin Alias.
Sementara itu, pasukan tuan rumah MCKK menutup kempen dengan menewaskan wakil Jepun Shizuoka Seiko Academy (SSA) 14-7 pada perlawanan akhir kategori Plate, sekali gus mengubat kekecewaan gagal mara ke final utama.
Bagi penentuan tempat ketiga dan keempat kategori Cup, Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Hussein Onn (THOR) mencatat kemenangan tipis 10-7 ke atas Sekolah Menengah Kebangsaan King Edward VII (KE VII).
Kolej Vokasional Arau (KVA) pula menjuarai kategori Bowl selepas menundukkan Sekolah Menengah Kebangsaan Hosba (HOSBA) 24-21.
Dalam pada itu, Maktab Rendah Sains MARA Balik Pulau turut mencuri tumpuan apabila menjuarai kategori Shield selepas mencatat kemenangan meyakinkan 19-0 ke atas Maktab Tentera Diraja (RMC).
-- BERNAMA