EKONOMI

WTO PERLU DIBERI NAFAS BAHARU - PM ANWAR

07/07/2025 11:22 AM

Daripada Arul Rajoo Durar Raj

RIO DE JANEIRO, 6 Julai (Bernama) -- Malaysia menyokong penuh reformasi menyeluruh terhadap Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata wujud keperluan untuk pertubuhan itu diberi nafas baharu agar dapat mengemudi isu masa depan.

“Isu-isu seperti kecerdasan buatan, perdagangan digital dan dasar iklim, tanpa menjejaskan ruang dasar yang adil bagi negara membangun,” kata beliau selepas bertemu Ketua Pengarah WTO Dr Ngozi Okonjo-Iweala di sini, hari ini.

Pertemuan itu diadakan bagi membincangkan peranan pertubuhan tersebut dalam mendepani cabaran perdagangan global semasa.

“Saya tegaskan komitmen Malaysia terhadap multilateralisme serta keperluan agar WTO kekal inklusif, berkesan dan responsif,” kata beliau.

Anwar dan Okonjo-Iweala berada di bandaraya kedua terbesar Brazil ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-17.

Okonjo-Iweala ialah ahli ekonomi dari Nigeria yang telah berkhidmat sebagai Ketua Pengarah WTO sejak Mac 2021. Beliau merupakan wanita pertama dan individu pertama dari Afrika yang menerajui pertubuhan itu sebagai ketua pengarah.

Anwar tiba di sini pada Sabtu atas jemputan Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva untuk menghadiri sidang kemuncak itu yang berlangsung pada 6 hingga 7 Julai.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan