AM

PEMBINAAN PROJEK TEBATAN BANJIR HULU LANGAT BERMULA 2027 - EXCO

07/07/2025 03:52 PM

SHAH ALAM, 7 Julai (Bernama) -- Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini dimaklumkan bahawa projek tebatan banjir Hulu Langat Fasa 2 sudah dalam peringkat pelaksanaan reka bentuk terperinci.

Pengerusi Infrastruktur dan Pertanian Datuk Izham Hashim berkata sejurus selesai, proses berikutnya diikuti dengan pengambilan tanah dan pengalihan utiliti sebelum pembinaan fizikal bermula dengan jangkaan ditetapkan pada 2027. 

"Projek ini juga meliputi beberapa kawasan seperti bandar Kajang, Kampung Sungai Serai, Kampung Sungai Lui, Kampung Dusun Tua, Taman Sri Nanding, Taman Sri Jelok dan Kampung Sungai Kantan.

"Projek ini melibatkan kerja-kerja pendalaman sungai, pembinaan ban dan kawalan pintu air, komponen pam dan kolam takungan air," katanya. 

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan dibangkitkan Datuk Johan Abd Aziz (BN-Dusun Tua) yang ingin tahu perkembangan rancangan tebatan banjir Hulu Langat. 

Rancangan Tebatan Banjir Hulu Langat ialah projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) merangkumi pembinaan Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat Fasa 2, Pakej 1 di Daerah Hulu Langat melibatkan peruntukan RM512 juta.

-- BERNAMA 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan