EKONOMI

PGB PULIHKAN SEPENUHNYA BEKALAN GAS KE KAWASAN UTAMA BATU TIGA, CONNAUGHT BRIDGE

07/07/2025 01:33 PM

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Petronas Gas Bhd (PGB) telah memulihkan sepenuhnya bekalan gas ke kawasan utama di Batu Tiga, Shah Alam, dan Connaught Bridge berikutan penyempurnaan proses pengaliran gas bagi talian paip pintasan baharu yang dibina pada 1 Julai 2025.

Menurut syarikat infrastruktur dan utiliti gas itu, operasi berkenaan dijalankan selepas memenuhi semua keperluan keselamatan kejuruteraan, operasi dan peraturan, termasuk pengeluaran kebenaran mengendali yang dikeluarkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.

“Berikutan  gas asli menjana antara 40 peratus hingga 50 peratus daripada bekalan elektrik di Malaysia, PGB kekal komited untuk memastikan orang ramai merasa selamat untuk tinggal berhampiran infrastruktur penting ini -- tanggungjawab yang digalas syarikat ini sebagai sebahagian daripada komitmen terhadap tenaga selamat dan boleh dipercayai oleh semua,” katanya dalam kenyataan hari ini.

PGB berkata selari dengan prinsip utamakan keselamatan, syarikat itu telah melaksanakan langkah pengukuhan kejuruteraan yang dipertingkatkan di bahagian pintasan di Putra Heights, termasuk pemasangan sensor termaju bagi mengesan pergerakan tanah dan paip -- melebihi piawaian keselamatan biasa.

Bagi memastikan kestabilan jangka panjang dan integriti struktur, cerucuk kepingan dan struktur sokongan kejuruteraan turut dipasang bagi melindungi talian paip bagi memastikan prestasi yang selamat, terjamin dan tanpa gangguan.

Menurut PGB, talian paip kekal yang baharu sedang dihasilkan dengan ciri keselamatan yang dipertingkatkan dan akan dipasang di atas asas papak bercerucuk dalam -- memberikan rintangan struktur yang lebih baik terhadap pergerakan atau perubahan tanah yang tidak dijangka berikutan risiko tertentu di kawasan berkenaan akibat pembangunan di sekitarnya.

Susun atur itu juga akan dilengkapi dengan injap penutup baharu bagi membolehkan jarak pengasingan yang lebih kecil sekiranya berlaku kecemasan, katanya.

Selain memulihkan bekalan, PGB telah menyalurkan lebih RM2 juta dalam bentuk ex-gratia dan bantuan kemanusiaan melalui pihak berkuasa tempatan, termasuk RM1.38 juta bantuan terus kepada keluarga yang terjejas dan sumbangan RM25 juta melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk tujuan pembinaan semula rumah.

PGB turut menjalankan penilaian langkah berwaspada di sepanjang bahagian lain bagi talian paip Penggunaan Gas Semenanjung (PGU) sepanjang 2,680 kilometer untuk memastikan integriti sistem secara menyeluruh.

Usaha ini melibatkan penggunaan alat pemeriksaan seperti teknologi Geopig dan kebocoran fluks magnet (MFL), yang dilengkapi dengan pemeriksaan visual yang disasarkan dalam segmen terpilih.

Syarikat itu turut mengesahkan bahawa setakat ini, tiada lokasi lain yang menunjukkan ciri-ciri risiko sama yang dikenal pasti di Putra Heights.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan