Oleh Wan Muhammad Aslah Wan Razali & Nurunnasihah Ahmad Rshid
KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN (SOM) selesai pada Isnin, sebagai persiapan menjelang Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 yang dijadualkan bermula Selasa.
Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin yang mempengerusikan mesyuarat berkenaan berkata perbincangan pada peringkat pegawai kanan itu berjalan lancar.
“Kita ada empat hari lagi, dari Selasa hingga Jumaat ini untuk melengkapkan siri mesyuarat meliputi AMM ke-58, Permukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN dan Mesyuarat Pasca Persidangan Menteri-Menteri Luar ASEAN Campur Satu (PMC +1) bersama rakan dialog,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) yang diadakan selepas SOM di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Isnin.
Amran berkata selaku Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia juga akan mengadakan mesyuarat tiga hala melibatkan Sekretariat ASEAN serta empat negara iaitu Norway, Switzerland, Brazil dan Turkiye.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dijadualkan mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya dari negara anggota ASEAN dan rakan dialog.
Mesyuarat hari ini dihadiri Ketua-Ketua Setiausaha dan wakil kanan Kementerian Luar negara anggota ASEAN, yang membincangkan persiapan AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan.
Mereka turut membincangkan isu-isu utama yang dijangka dibangkitkan pada mesyuarat kali ini.
AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan yang berlangsung di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”, akan merangkumi 24 mesyuarat peringkat menteri, termasuk sesi libat urus bersama Rakan Dialog ASEAN dan Rakan Dialog Sektoral.
Mesyuarat yang berlangsung dari 8 hingga 11 Julai di KLCC akan menghimpunkan kira-kira 1,500 perwakilan terdiri daripada menteri luar ASEAN, Timor-Leste, rakan dialog ASEAN, negara peserta Forum Serantau ASEAN (ARF), rakan dialog sektoral dan pegawai kanan Sekretariat ASEAN, yang dijadualkan tiba hari ini.
-- BERNAMA