EKONOMI

FMM MAHU LANGKAH DIPLOMASI, CAMPUR TANGAN DOMESTIK DISEGERAKAN ATASI IMPAK TARIF AS

08/07/2025 05:27 PM

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menggesa agar kerajaan mempergiat usaha diplomasi dan tindak balas dasar berikutan pengumuman Amerika Syarikat (AS) untuk mengenakan tarif menyeluruh 25 peratus ke atas eksport Malaysia. 

Presiden FMM Tan Sri Soh Thian Lai berkata usaha itu harus dipertingkatkan bagi mendapatkan penangguhan serta-merta terhadap pelaksanaan tarif yang dijadualkan pada 1 Ogos, 2025 serta usaha jangka panjang ke arah pengecualian atau pengurangan tarif.

Ini kerana jika tarif menyeluruh 25 peratus ini dilaksanakan mengikut jadual, ia dijangka meningkatkan tekanan kepada pelbagai sektor, khususnya syarikat yang beroperasi dengan margin keuntungan yang kecil atau terikat dengan kontrak bekalan jangka panjang, kata Soh.

“Tarif yang dikenakan ke atas Malaysia ini perlu dibawa segera ke peringkat tertinggi pembuat dasar AS, disokong oleh data yang kukuh dan kedudukan strategik yang menunjukkan nilai sumbangan Malaysia dalam rantaian bekalan AS.

"Pada masa sama, langkah balas domestik perlu dilaksanakan untuk menyokong industri yang terjejas, termasuk bantuan kewangan bersasar, pengukuhan promosi eksport, serta pelaksanaan reformasi struktur secara pantas bagi meningkatkan kecekapan kos dan daya saing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama beliau mencadangkan agar fasilitasi eksport dipertingkatkan bagi membantu pengeksport menghadapi kejutan semasa dan menyusun semula kedudukan untuk pertumbuhan masa hadapan.

Antaranya, dengan menaikkan siling Geran Pembangunan Pasaran (MDG), memansuhkan yuran pentadbiran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bagi misi perdagangan yang dianjurkan oleh persatuan, serta menyediakan insentif bersasar untuk penjenamaan, pensijilan dan akses pasaran digital.

Soh turut menekankan bahawa Malaysia perlu memacu pertumbuhan berasaskan produktiviti dengan mempercepatkan penerapan Industri 4.0 melalui insentif cukai, geran pendigitalan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), serta pembiayaan berfaedah rendah bagi peningkatan teknologi.

“Insentif ini perlu disokong oleh program peningkatan kemahiran tenaga kerja serta akses inklusif kepada dana sokongan kerajaan, agar semua syarikat dapat menyertai proses peralihan ini.

“Selain itu, kutipan levi pekerja asing juga boleh disalurkan semula ke dalam dana khas untuk menyokong program perantisan dan pelaburan teknologi tinggi,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN harus menerajui usaha penubuhan Majlis Penyelaras Rantaian Bekalan ASEAN (ASEAN Supply Chain Coordination Council).

Langkah ini akan memastikan tindak balas serantau yang padu terhadap kejutan perdagangan global, mengurangkan kebergantungan berlebihan kepada rantaian bekalan luar, serta memperkukuh jaringan pengeluaran intra-ASEAN, penjajaran dasar, dan daya tahan rantaian bekalan.

Pada peringkat strategik, Malaysia juga perlu memperluas rangka kerja perdagangan dengan mempercepatkan dimuktamadkan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah (Malaysia-EU FTA) serta mempergiatkan rundingan dengan pasaran baharu dan sedang berkembang, termasuk di Afrika, Amerika Latin dan Timur Tengah, kata Soh.

FMM turut menggesa kerajaan agar menilai semula dan merombak struktur Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dengan memperkenalkan pengecualian cukai perkhidmatan antara perniagaan (B2B) bagi pengilang berlesen, yang dilaksanakan secara automatik apabila nombor lesen cukai jualan yang sah diberikan.

Soh turut mencadangkan penyelesaian jangka panjang iaitu dengan mewujudkan rangka kerja percukaian yang benar-benar menghapuskan unsur cukai atas cukai (tax-on-tax) serta memulihkan sifat neutral dalam keseluruhan rantaian bekalan pembuatan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan