DUNIA

PERSINGGAHAN KAPAL LATIHAN KCG BADARO PERKUKUH HUBUNGAN MARITIM MALAYSIA, KOREA SELATAN

08/07/2025 06:44 PM

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Kapal latihan Pengawal Pantai Korea Selatan (KCG) Badaro melakukan pelabuhan persinggahan selama empat hari di Malaysia di Terminal Kapal Persiaran Pelabuhan Klang (PKCT) bermula 7 Julai.

Pelabuhan persinggahan itu merupakan sebahagian daripada Program Pelayaran Latihan Luar Negara Korea Selatan 2025 bagi Kadet Polis Baharunya yang bertujuan memupuk perkembangan bakal pegawai Pengawal Pantai Korea Selatan serta memperkukuh kerjasama serantau dalam ASEAN, termasuk Malaysia.

Duta Korea Selatan ke Malaysia Yeo Seung-bae berkata lawatan itu menyumbang secara signifikan kepada pengukuhan kerjasama maritim Korea-Malaysia.

“Kami berharap persinggahan kapal latihan secara berkala dan latihan bersama akan terus mengukuhkan kerjasama praktikal antara pihak berkuasa kedua-dua negara dan menyumbang kepada keselamatan maritim di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Ini merupakan persinggahan pertama oleh kapal latihan KCG ke Malaysia sejak 2019 dan mewakili pencapaian penting dalam kerjasama maritim antara kedua-dua negara, terutamanya selepas hubungan dua hala dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik tahun lepas.

Persinggahan itu juga bertepatan dengan perbincangan mengenai kemungkinan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Keselamatan Maritim Korea-Malaysia, yang dijangka membuka ruang kepada kerjasama lebih mendalam melalui pelabuhan persinggahan  secara berkala dan latihan bersama antara KCG dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Sementara itu, semasa pelabuhan persinggahan selama empat hari, beberapa program pertukaran dan kerjasama antara Korea Selatan dan APMM dijadualkan berlangsung.

Para kadet akan melawat kapal dan unit udara APMM untuk memerhati operasi keselamatan maritim tempatan, melaksanakan latihan bersama membanteras dadah dan operasi mencari serta menyelamat, selain mengambil bahagian dalam aktiviti perkongsian maklumat dan menjalin persahabatan dengan rakan sejawatan mereka di Malaysia.

Majlis pelabuhan persinggahan itu dihadiri pegawai utama Malaysia, termasuk Timbalan Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim (ВКРМ), Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik dan Pengerusi Institut Maritim Malaysia (MIMA) Datuk Mohamed Suffian Awang, yang menyatakan minat untuk terus memperkukuh kerjasama keselamatan maritim dua hala.

Badaro yang membawa seramai 121 anggota, termasuk 55 kru dan 66 kadet baharu telah berlepas dari Pelabuhan Yeosu, Korea Selatan pada 27 Jun dan melaksanakan pelbagai aktiviti latihan di laut bagi mengukuhkan kesediaan operasi.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan