AM

JOHOR HARGAI PROJEK AIR RM991 JUTA, PERKUKUH KEUPAYAAN AGIHAN AIR TERAWAT - TUNKU MAHKOTA ISMAIL

08/07/2025 09:25 PM

JOHOR BAHRU, 8 Julai (Bernama) -- Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail menzahirkan penghargaan susulan kelulusan projek infrastruktur bekalan air baharu bernilai RM991 juta oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), yang bakal memperkukuh sistem agihan air terawat di negeri ini.

Baginda bertitah kelulusan projek berkapasiti 260 juta liter sehari (JLH) itu dimuktamadkan menerusi surat pelaksanaan projek (project execution letter) bertarikh 7 Julai 2025. 

“Projek berkenaan akan memperkukuh keupayaan sistem agihan air terawat khususnya di kawasan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ),” titah baginda menerusi hantaran Facebook hari ini.

Baginda turut memaklumkan bahawa Johor menyasarkan pembinaan infrastruktur air mentah sebanyak 2,000 JLH yang mampu menampung keperluan air di seluruh negeri hingga 2060.

Menurut baginda, ini termasuk Projek TAPS Sungai Johor (200 JLH), pembinaan baraj dan TAPS Sungai Sedili (600 JLH) serta baraj dan TAPS Sungai Pontian (100 JLH), yang telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Langkah ini dijangka berupaya menyokong keperluan air bagi sektor perindustrian, komersial dan domestik bagi jangka masa sederhana dan panjang. Justeru, para pelabur baharu tidak perlu bimbang tentang sebarang gangguan bekalan air pada masa hadapan,” titah baginda.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan