Oleh Nabilah Saleh, Nurunnasihah Ahmad Rashid & Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Negara anggota ASEAN bersetuju supaya proses dokumentasi bagi keanggotaan penuh Timor-Leste diselesaikan segera sebelum Sidang Kemuncak ke-47 yang dijadualkan berlangsung Oktober ini.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata persetujuan itu dicapai hasil perbincangan bersama rakan sejawat dalam sesi pleno Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58, bagi memastikan penyertaan rasmi Timor-Leste sebagai anggota penuh blok berkenaan dapat dimuktamadkan.
“Kita memastikan dokumentasi untuk Timor-Leste diselesaikan segera supaya dapat dilakukan (pengesahan) pada sesi Kemuncak ASEAN Oktober nanti,” katanya kepada pemberita selepas sesi berkenaan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pada Rabu.
Pada Mei lepas, pemimpin ASEAN bersetuju untuk menerima Timor-Leste sebagai anggota ke-11 pada Oktober ini, tertakluk kepada pematuhan terhadap pelan hala tuju ditetapkan.
Mohamad berkata langkah berkenaan akan memberi isyarat kukuh terhadap keterbukaan dan kesatuan ASEAN sebagai satu blok serantau yang inklusif.
Sementara itu dalam sesi pleno, Mohamad berkata mereka turut membincangkan hubungan ASEAN dengan rakan luar, sambil menekankan keperluan untuk ASEAN menjadi sebuah blok yang lebih terbuka.
“Bagi memastikan ASEAN tidak terlalu bergantung kepada mana-mana pihak, rantau ini mesti dilihat sebagai sebuah entiti inklusif dan bersifat terbuka yang mengalu-alukan kerjasama pelbagai rakan luar dalam bidang hubungan strategik dan perdagangan,” katanya.
AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan berlangsung dari 8 hingga 11 Julai, diadakan di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, menampilkan 24 mesyuarat peringkat menteri membabitkan Rakan Dialog ASEAN dan Rakan Dialog Sektoral.
Acara peringkat tinggi selama empat hari itu menghimpunkan kira-kira 1,500 perwakilan termasuk Menteri-Menteri Luar ASEAN, Timor-Leste, Rakan Dialog ASEAN, Negara Peserta Forum Serantau ASEAN (ARF), Rakan Dialog Sektoral dan para pegawai kanan Sekretariat ASEAN.
-- BERNAMA