KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Kementerian Luar dan Kementerian Ekonomi negara anggota ASEAN perlu bergerak seiring dan bekerjasama untuk meningkatkan perdagangan serta pelaburan serantau, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata forum bersama menteri luar, menteri ekonomi dan menteri perdagangan dari negara ASEAN akan diadakan bagi membincangkan mengenai pelan tindakan sebelum Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dijadual berlangsung di Kuala Lumpur pada Oktober ini.
“Sebelum persidangan kemuncak ketua negara dan ketua kerajaan itu...menteri luar dan menteri ekonomi dan perdagangan akan duduk bersama-sama dalam satu forum.
“Ia untuk kita bincangkan dan bersetuju pelan tindakan untuk kita pastikan supaya apa yang nak kita cita-citakan (iaitu) dagangan antara negara ASEAN, pelaburan negara ASEAN ini dipertingkatkan,” katanya kepada media selepas sesi pleno Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 di sini pada Rabu.
Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN ke-57 (AEM ke-57) dijadual berlangsung dari 22 hingga 28 September sebelum Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaita dari 26 hingga 28 Oktober depan.
Mohamad membangkitkan kebimbangan mengenai isu halangan perdagangan dan bukan halangan perdagangan dan berkata tindakan yang perlu diperlukan menerusi kerjasama dalam blok ASEAN.
“Kita perlu cekap menanganinya sekarang kerana dunia sudah berubah...tak boleh tunggu, kita kena lakukannya. Jalan terbaik sekarang ialah melalui blok ASEAN,” katanya.
Justeru, Mohamad menekankan kepentingan penyelarasan antara kementerian agar setiap keputusan dan perjanjian dimeterai dapat diterjemahkan kepada tindakan bersepadu sekali gus mengukuhkan gerak kerja serantau yang lebih efisien dan selaras.
Jumlah perdagangan ASEAN meningkat dengan ketara kepada US$3.8 trilion pada 2024 daripada US$2.3 trilion pada 2015, manakala perdagangan intra ASEAN naik kepada US$0.8 trilion daripada US$0.5 trilion sepanjang tempoh tersebut.
AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan yang berlangsung dari 8 hingga 11 Julai di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) diadakan di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, menampilkan 24 mesyuarat peringkat menteri membabitkan Rakan Dialog ASEAN dan Rakan Dialog Sektoral.
Acara peringkat tinggi selama empat hari itu menghimpunkan kira-kira 1,500 perwakilan termasuk Menteri-Menteri Luar ASEAN, Timor-Leste, Rakan Dialog ASEAN, Negara Peserta Forum Serantau ASEAN (ARF), Rakan Dialog Sektoral dan para pegawai kanan Sekretariat ASEAN.
-- BERNAMA