AM

JALANI PEMERIKSAAN KESIHATAN ELAK RISIKO GANGGUAN ADRENAL - PUSAT PERUBATAN SUNWAY

09/07/2025 07:29 PM

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Individu mengalami gejala berterusan seperti dehidrasi, keletihan dan kesukaran untuk menumpukan perhatian disaran menjalani pemeriksaan kesihatan yang sewajarnya bagi mengelak risiko gangguan adrenal.

Pakar Perunding Endokrinologi dan Diabetes, Pakar Perubatan Dalaman di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) Dr Lim Chong Wei berkata nasihat perubatan serta ujian diagnostik yang tepat penting untuk memastikan individu menerima diagnosis yang betul dan rawatan berkesan pada peringkat awal.

Beliau berkata haba dan kelembapan iklim tropika yang berpanjangan di negara ini boleh menyebabkan gangguan adrenal lebih sukar dikenal pasti.

“Gejala seperti dehidrasi, keletihan dan daya tumpu yang lemah sering disalah anggap sebagai kesan tekanan alam sekitar dan bukannya masalah kesihatan serius.

“Ia (gejala) sering mengaburi gejala kekurangan adrenal. Simptom kekurangan adrenal  tidak spesifik dan ia boleh melibatkan penurunan berat badan, loya, muntah, ketidakselesaan perut, keletihan dan kekeliruan, menjadikannya sukar untuk dibezakan antara keletihan biasa dan masalah adrenal yang lebih serius,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan SMC di sini hari ini.

Kelenjar adrenal yang juga dipanggil kelenjar suprarenal adalah organ kecil segi tiga di atas setiap buah pinggang dan ia menghasilkan hormon penting seperti kortisol, noradrenalin dan adrenalin yang memainkan peranan penting untuk mengekalkan tekanan darah dalam julat yang sihat.

Dr Lim berkata apabila badan kekurangan kortisol yang mencukupi, tekanan darah seseorang mungkin menurun.

Beliau berkata kekurangan adrenal berlaku apabila kelenjar adrenal tidak dapat menghasilkan hormon mencukupi yang penting untuk mengekalkan tekanan darah, mengawal metabolisme dan menguruskan tekanan.

 "Keadaan ini biasanya menjejaskan golongan berumur antara 30 dan 50 tahun, dan ia biasanya dikaitkan dengan keadaan autoimun seperti diabetes jenis 1, penyakit selia (coeliac) dan gangguan tiroid.

“Bagaimanapun, faktor persekitaran lain seperti tuberkulosis (TB), virus kekurangan imun manusia (HIV) dan jangkitan kulat juga boleh menyumbang kepada keadaan ini dalam mana-mana kumpulan umur," katanya.

Dr Lim menjelaskan mengekalkan hidrasi dengan minum air setiap kali berasa dahaga adalah antara langkah pencegahan terbaik bagi mengelakkan gangguan adrenal terutamanya dalam keadaan cuaca panas dan lembap di negara ini.

“Tanpa rawatan, kekurangan adrenal boleh membawa kepada krisis adrenal yang mengancam nyawa, apabila badan gagal menghasilkan hormon penting dalam jumlah mencukupi. Keadaan ini boleh membawa maut.

“Dalam situasi sebegini, ia menjadi kecemasan perubatan yang memerlukan rawatan segera, termasuk pemberian suntikan hidrokortison. Pesakit boleh mengalami koma dan tanpa rawatan segera, hingga 20 peratus daripada mereka yang mengalami kejutan adrenal berisiko meninggal dunia akibat komplikasi tersebut,” katanya.

Dr Lim menjelaskan bahawa gangguan adrenal sering disalahertikan hingga menimbulkan pelbagai mitos yang boleh menghalang pengurusan dan rawatan yang tepat.

“Salah tanggapan biasa ialah fungsi adrenal boleh kembali pulih selepas seseorang disahkan mengalami kegagalan adrenal primer. Hakikatnya, kegagalan adrenal primer adalah keadaan yang tidak dapat dipulihkan kerana kelenjar adrenal tidak lagi mampu menghasilkan hormon secara semula jadi.

“Bagaimanapun, dalam kes kekurangan adrenal sekunder terdapat peluang tipis iaitu kira-kira satu daripada enam untuk fungsi adrenal mungkin pulih, namun ia boleh mengambil masa hingga lima tahun," katanya sambil menambah hidrokortison yang sering dianggap sebagai ubat untuk kekurangan adrenal juga hanyalah sekadar supplemen.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan