Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 9 Julai (Bernama) -- Indonesia menggesa ASEAN memperkukuh daya tahan strategik dan ekonominya dalam berhadapan persaingan global yang semakin sengit dan kemerosotan pelaburan global, serta menyatakan bahawa kerelevanan ASEAN bergantung kepada keupayaannya untuk bertindak balas secara bersatu padu.
Berucap pada sesi pleno Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 di Kuala Lumpur pada Rabu, Menteri Luar Indonesia Sugiono berkata rantau itu sedang “mengharungi persekitaran strategik yang semakin kompleks” dan perlu menangani tekanan geopolitik dan geoekonomi secara serentak.
“ASEAN perlu menerajuinya dengan memupuk iklim pelaburan yang boleh dijangka dan terbuka, sebagai safe harbour dalam persekitaran ketidakpastian global serta menjadi tarikan bagi pelaburan langsung asing (FDI) yang mampan,” katanya.
Safe harbour dalam konteks ekonomi dan undang-undang merujuk kepada peruntukan menawarkan perlindungan undang-undang atau pengecualian daripada penalti atau liabiliti dengan syarat syarat tertentu dipenuhi.
Sugiono berkata walaupun laporan terbaru Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD) menunjukkan kemerosotan pelaburan global, ASEAN kekal menjadi daya tarikan pelaburan dengan peningkatan 10 peratus dalam pelaburan langsung asing
Ia mencerminkan keyakinan pelabur semakin meningkat dan menekankan peranan rantau ini sebagai safe harbour serta tarikan bagi pelaburan langsung asing (FDI) yang mampan.
Beliau turut menyatakan sokongan penuh Indonesia terhadap Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN dan menggesa blok tersebut untuk beralih daripada merangka taklimat dasar kepada melakukan tindakan konkrit dan menyeru pelaksanaan penuh Visi Komuniti ASEAN 2045 serta menggesa Jawatankuasa Wakil Tetap memastikan keselarasan merentasi semua tonggak.
Mengulangi sokongan Jakarta terhadap keanggotaan penuh Timor-Leste dalam ASEAN, beliau menggesa negara anggota mempercepatkan proses dalaman masing-masing selain mengulangi cadangan Presiden Prabowo Subianto untuk memperdalam keterlibatan ASEAN dengan Papua New Guinea, bermula sejak tahun 1976 dan kini menjadi pemerhati dengan hubungan strategik dan budaya yang kukuh dengan rantau ini.
“Dalam iklim geopolitik yang tidak menentu pada masa ini, adalah tepat pada masanya untuk kita memperluas jangkauan ASEAN, dan Papua New Guinea merupakan rakan semula jadi,” katanya.
Mengenai kestabilan serantau, Sugiono menyokong cadangan menggiatkan semula Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC), termasuk memperkenalkan mekanisme tamat tempoh serta memperkukuh peranannya dalam diplomasi pencegahan.
“Kredibiliti ASEAN akan ditentukan oleh konsensus nilai-nilai kita dan keselarasan tindakan kita. Marilah kita membina sebuah ASEAN yang bukan sahaja berdaya tahan dan padu, tetapi juga berwawasan, terangkum dan bersedia untuk masa hadapan,” katanya.
-- BERNAMA