DHAKA, 12 Julai (Bernama-UNB) -- Penasihat Hal Ehwal Luar Bangladesh Md Touhid Hossain pada Jumaat menyuarakan kebimbangan berhubung penahanan beberapa warganegara Bangladesh di Malaysia baru-baru ini atas dakwaan berkaitan keganasan, lapor United News of Bangladesh (UNB).
Beliau berkata kerajaan Bangladesh akan bekerjasama dengan Malaysia bagi menyiasat dakwaan kegiatan pengganas melibatkan warganya yang ditahan oleh polis Malaysia.
Perkara itu dibincangkan semasa pertemuan dua hala bersama Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan yang berlangsung di Kuala Lumpur di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Forum Serantau ASEAN (ARF) ke-32.
Hossain mengulangi pendirian tegas kerajaan Bangladesh menentang keganasan dan meminta kerjasama Malaysia dalam siasatan pihaknya melalui pertukaran maklumat dan penemuan.
Menteri Luar Malaysia memberi jaminan bahawa pihaknya akan memudahkan akses dan kerjasama dengan pihak berkuasa Bangladesh.
-- BERNAMA-UNB