EKONOMI

CPTPP UK-MALAYSIA BUKA PELUANG KEPADA PKS TEMBUSI PASARAN DI UK - TENGKU ZAFRUL

12/07/2025 12:25 PM

KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) pertama antara United Kingdom (UK) dan Malaysia dijangka membuka peluang yang luas kepada pengeksport Malaysia, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menembusi pasaran UK. 

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata perkara itu antara yang dibincangkan semasa pertemuannya dengan Setiausaha Negara bagi Hal Ehwal Luar Negeri dan Komanwel UK David Lammy, baru-baru ini.

“Bersama kita pacu pertumbuhan ekonomi yang berdaya tahan dan inovatif,” katanya menerusi hantaran di platform X hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat daripada Lammy untuk memperkukuh hubungan dua hala yang kini telah dinaik taraf kepada perkongsian strategik sejak pertemuan dengan Perdana Menteri UK Keir Starmer pada Januari lepas.

Menerusi platform X, Anwar berkata Malaysia mengalu-alukan kerjasama erat dalam pelbagai bidang, termasuk pelaburan, peralihan tenaga, pendidikan, perubahan iklim, pertahanan, digitalisasi dan kecerdasan buatan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan