KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- ASEAN berharap Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Penggunaan Platform Media Sosial yang Selamat dan Bertanggungjawab untuk ASEAN dapat diterima pakai, sebagai usaha bersama untuk memupuk tingkah laku dalam talian lebih selamat dan inklusif di rantau ini.
Dalam Kenyataan Bersama yang dikeluarkan pada Jumaat susulan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) Ke-58 pada Rabu, kesemua menteri menzahirkan penghargaan atas komitmen Menteri-Menteri ASEAN Bertanggungjawab terhadap Maklumat (AMRI) dalam memupuk penggunaan platform media sosial secara selamat dan bertanggungjawab.
“Mereka (Menteri-Menteri Luar ASEAN) turut menghargai usaha AMRI dalam mempertingkat kerjasama bagi menangani penyebaran berita palsu dan maklumat tidak tepat di rantau ini, selaras dengan matlamat ASEAN untuk mempererat perpaduan dan persefahaman bersama,” menurut kenyataan itu.
Blok serantau itu turut menyambut baik Deklarasi Bandar Seri Begawan untuk Menegaskan Semula Komitmen AMRI Terhadap Maklumat bagi Kemajuan Strategik dalam Media dan Maklumat, yang bermatlamat mengukuhkan perpaduan dan persefahaman ASEAN melalui peranan media yang berkembang.
Menurut kenyataan itu, Menteri-Menteri Luar ASEAN mengambil maklum mengenai perkembangan Garis Panduan ASEAN mengenai Penggunaan Platform Media Sosial yang Selamat dan Bertanggungjawab, yang dirangka untuk menyokong pendekatan seragam di peringkat serantau dalam penglibatan digital selaras dengan nilai kebersamaan ASEAN.
Selain itu, ASEAN turut menghargai usaha AMRI dalam Rancangan Kerja bagi Maklumat dan Media (2026-2035) dan Pelan Induk Komunikasi ASEAN (ACMP III) (2026-2030), dengan kedua-duanya akan selari dengan visi jangka panjang rantau ini menerusi Visi ASEAN 2045: Masa Depan Kita Bersama.
Kesemua insiatif berkenaan mencerminkan komitmen AMRI dalam membentuk landskap media dan maklumat dalam ASEAN yang responsif, terangkum dan berpandangan jauh.
-- BERNAMA