KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Keputusan kerajaan mengekalkan waktu bekerja 42 jam seminggu bagi petugas kesihatan yang bekerja syif akan memastikan kualiti perkhidmatan kesihatan awam kekal pada tahap terbaik.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Dr Adnan Mat berkata langkah itu merupakan keputusan yang penuh hikmah serta selari dengan semangat Malaysia MADANI, yang mengutamakan nilai ihsan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat serta penjawat awam.
“Langkah ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan mendengar dan memahami suara serta kebimbangan yang disuarakan oleh kesatuan sekerja dan petugas kesihatan yang saban hari bertugas di barisan hadapan menyelamatkan nyawa rakyat tanpa mengira waktu dan keadaan.
“CUEPACS percaya pengekalan waktu bekerja 42 jam ini akan membantu memelihara kesihatan fizikal, mental dan emosi petugas kesihatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memaklumkan kerajaan bersetuju memberikan pengecualian terhadap pelaksanaan waktu bekerja syif 45 jam seminggu kepada lima skim perkhidmatan kritikal di bawah Kementerian Kesihatan (KKM), dengan menetapkan waktu bekerja hanya 42 jam seminggu.
Pengecualian itu melibatkan seramai 82,637 petugas barisan hadapan merangkumi jururawat, jururawat masyarakat, pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan, penolong pegawai perubatan serta pembantu perawatan.
Adnan turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada kerajaan kerana terus memberi ruang kepada rundingan dan suara kesatuan sekerja dalam membuat keputusan dasar berkaitan perkhidmatan awam.
“Kami akan terus komited memperjuangkan kebajikan penjawat awam selaras dengan aspirasi negara,” katanya.
-- BERNAMA