KUCHING, 12 Julai (Bernama) -- Sistem pemetaan hutan tiga dimensi (3D) berteknologi tinggi yang dibangunkan Jabatan Hutan Sarawak (JHS) berupaya memperkasa kapasiti negeri ini dalam perdagangan karbon dengan mengenal pasti segmen hutan yang mempunyai potensi tinggi dalam penyerapan karbon.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata beliau kagum dengan sistem tersebut yang menyediakan data penting mengenai keupayaan hutan menyerap karbon, iaitu elemen utama dalam urus niaga perdagangan karbon.
“Jika kita mempunyai data seperti yang saya lihat menerusi sistem 3D ini, kita boleh tentukan jumlah kapasiti serapan karbon hutan kita secara agregat.
“Memandangkan harga karbon ditentukan oleh pasaran terbuka, data ini boleh digunakan untuk menyokong pelaksanaan levi atau cukai karbon berdasarkan keupayaan hutan menyerap karbon,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Hutan Antarabangsa peringkat negeri Sarawak di sini, hari ini.
Abang Johari berkata kerajaan Sarawak turut mengintegrasikan prinsip ekonomi kitaran dalam inisiatif ekonomi hijau, termasuk menggalakkan proses kitar semula sisa buangan terutamanya daripada kilang minyak sawit dan ternakan, bagi penghasilan sumber tenaga hijau seperti hidrogen dan metana.
Beliau berkata pendekatan ekonomi kitaran Sarawak antara topik yang diketengahkan dalam ucaptama beliau semasa Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur pada Mei lalu, yang mana frasa beliau “don’t waste the wastes, monetise the wastes” menarik perhatian ahli ekonomi yang hadir.
“Saya sebutkan perkara ini kerana dasar kita mengambil kira bagaimana kita melestarikan alam sekitar sambil membangunkan negeri kita,” katanya.
Menurut Abang Johari, inisiatif ekonomi hijau Sarawak turut mendapat pengiktirafan pada Persidangan Hidrogen Asia Dunia 2025 di Tokyo minggu lalu, yang menyaksikan beliau menyampaikan ucap tama, dan beliau dimaklumkan akan dijemput menyampaikan ucaptama serupa di Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland.
“Saya diberitahu mereka akan menjemput saya berkongsi dasar kita di Forum Ekonomi Dunia di Davos. Ini menunjukkan dunia mengiktiraf usaha kita,” katanya.
-- BERNAMA