AM

MENTERI LUAR EAS ULANGI KOMITMEN PERKUKUH PLATFORM DIALOG STRATEGIK

12/07/2025 11:17 PM

Oleh Nazira Hasanah Nasaruddin & Ahmad Aidil Syukri Hamzah

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Menteri-menteri Luar Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) mengulangi komitmen mereka untuk memperkukuh EAS sebagai platform utama diterajui pemimpin bagi dialog strategik dan kerjasama serantau dalam dinamik geopolitik yang kian berubah. 

Menurut Kenyataan Pengerusi ASEAN yang dikeluarkan selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Luar EAS ke-15 di sini, para menteri menggariskan peranan forum tersebut dalam mempromosikan keamanan, kestabilan dan kemakmuran ekonomi di Asia Timur, sejajar dengan Piagam ASEAN dan deklarasi serantau utama termasuk Perjanjian Persabahatan dan Kerjasama (TAC) dan Pandangan ASEAN tentang Indo-Pasifik (AOIP).

Persidangan menegaskan semula bahawa EAS mesti kekal terbuka, inklusif dan berpaksikan ASEAN sambil mempertahankan kerangka berasaskan peraturan serantau yang berpaksikan undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Mesyuarat itu juga menekankan keperluan untuk memupuk kepercayaan strategik dan memastikan tingkah laku yang bertanggungjawab, telus dan boleh diramal dalam kalangan negara, dengan menghormati sepenuhnya kedaulatan dan integriti wilayah.

Dalam perubahan dinamik global, para menteri mengakui keperluan mendesak untuk memperkukuh kepentingan dan keberkesanan EAS terutamanya ketika sidang kemuncak itu menghampiri ulang tahun ke-20nya.

Menteri-menteri Luar menegaskan semula peranan utama ASEAN sebagai penyelaras rantau itu bagi dialog strategik dan menekankan kepentingan terhadap langkah-langkah pembinaan keyakinan dan diplomasi pencegahan untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan di Indo-Pasifik.

Mereka turut menyeru kerjasama yang lebih mendalam menerusi mekanisme diterajui ASEAN dan sinergi lebih besar merentasi institusi serantau sedia ada untuk mengelakkan pertindihan dan menggalakkan kesepaduan dalam menangani isu serantau.

Usaha untuk menambah baik penyelarasan dalaman EAS dan mekanisme susulan turut dibangkitkan, termasuk pelaksanaan keputusan pemimpin pada masa yang lebih tepat ketika tempoh antara sesi.

Dalam konteks ini, persidangan itu menggalakkan penambahbaikan Unit EAS di Sekretariat ASEAN untuk menyokong penyelarasan dan memacu lebih banyak kerjasama efektif dalam kalangan negara peserta.

Selain itu, EAS menzahirkan kebimbangan berhubung pelbagai perkembangan serantau dan antarabangsa, mengulangi desakan untuk penyelesaian secara aman dan pematuhan kepada undang-undang antarabangsa.

Mengenai Laut China Selatan, mereka turut menegaskan semula kepentingan untuk mengekalkan kemanan, keselamatan, kestabilan dan kebebasan pelayaran dan penerbangan melintasi perairan itu.

Beberapa menteri menyuarakan kerisauan berhubung insiden-insiden yang telah menghakis kepercayaan dan berupaya menjejaskan kestabilan serantau.

Para pemimpin menekankan kepentingan resolusi pertelingkahan tanpa ketenteraan, kawalan kendiri dan aman mengikut undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen PBB mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS).

Mereka turut menyambut baik perkembangan rundingan Kod Etika (COC) termasuk penamaan semula Teks Rundingan Draf Tunggal kepada Draf COC.

Sementara itu, berkenaan Timur Tengah, sidang menzahirkan kebimbangan serius terhadap ketegangan yang berterusan dan situasi kemanusiaan yang teruk di Gaza.

Ia mendesak untuk akses kemanusiaan serta-merta dan dikekalkan selain menggesa semua pihak untuk menyokong usaha gencatan senjata seperti digariskan dalam Resolusi Majlis Keselamatan PBB 2735.

Para menteri turut mengutuk serangan ke atas orang awam dan infrastruktur awam serta menyeru kepada pembebasan tanpa syarat kesemua tahanan.

Persidangan itu mengulangi semula sokongannya terhadap hak-hak rakyat Palestin termasuk penyelesaian dua negara dan mengiktiraf ketetapan dan pendapat terkini oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan resolusi PBB.

Beberapa menteri turut mengingatkan mengenai perluasan (konflik) susulan serangan Israel ke atas Iran pada 13 Jun dan menyambut baik usaha gencatan senjata yang dicapai pada 24 Jun lepas yang menyaksikan Amerika Syarikat sebagai broker dan Qatar sebagai pengantara.

Persidangan menggesa semua pihak untuk menghormati gencatan senjata tersebut dan menyelesaikan perbezaan secara aman sambil melindungi orang awam seperti ditetapkan oleh undang-undang kemanusiaan dan hak asasi manusia antarabangsa.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan