KUALA NERUS, 13 Julai (Bernama) -- Kerja-kerja pembaikan Jalan Aring 8-Kenyir-Kuala Jeneris di Jalan Tasik Kenyir dekat Hulu Terengganu yang runtuh akibat hujan lebat hujung tahun lepas dijangka bermula November ini.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu Dr Hasli Ibrahim berkata kerajaan telah meluluskan peruntukan RM36 juta bagi pembaikan semula runtuhan jalan yang serius itu.
“Kita sekarang di peringkat reka bentuk akhir dan insya-Allah perolehan akan berlaku, ikut perancangan kita November ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi lawatan kerja Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi di Kampung Tanjung Batu Rakit di sini hari ini.
Runtuhan serius yang berlaku sepanjang 100 meter akibat hujan lebat pada musim tengkujuh hujung tahun lepas itu menyebabkan Jalan Aring 8-Kenyir-Kuala Jeneris terpaksa ditutup kepada semua jenis kenderaan hingga kini.
Dalam pada itu, pada lawatan kerja tersebut Nanta meninjau projek membaiki jalan dan tebing di Laluan T145 Jalan Mengabang Telipot-Batu Rakit yang dilaksanakan bagi mengatasi masalah hakisan pantai akibat fenomena ombak besar yang berlaku pada musim tengkujuh setiap tahun.
-- BERNAMA