IPOH, 14 Julai (Bernama) -- Kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kukuh dan tidak akan terjejas oleh sebarang usaha untuk menggugat beliau termasuk melalui Himpunan Turun Anwar yang dijadual berlangsung di ibu negara pada 26 Julai ini.
Ketua Angkatan Muda Keadilan Muhammad Kamil Abdul Munim berkata Perdana Menteri mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen dalam Kerajaan MADANI.
“Usaha menggugat kedudukan Perdana Menteri melalui himpunan juga tidak memberi kesan terhadap kestabilan politik semasa selain tiada hala tuju yang jelas.
“Ia lebih bersifat menangguk di air keruh dan hanya mencetuskan kebimbangan serta keresahan dalam kalangan rakyat tanpa menawarkan sebarang penyelesaian,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Kesenian Islam dan Malam Mahabbah MADANI Parlimen Tambun di pekarangan Masjid Al-Amin di sini malam tadi.
Muhammad Kamil yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan berkata pihaknya yakin rakyat semakin bijak menilai dan tidak mudah terpengaruh dengan himpunan yang didalangi pemimpin pembangkang.
"Bagaimanapun, kami tetap menjunjung prinsip demokrasi dan tidak menghalang hak mereka untuk berkumpul seperti yang dijamin Perlembagaan,” katanya.
Beliau berkata kerajaan kini lebih menumpukan usaha untuk menstabilkan kos sara hidup, memperkukuh keyakinan pelabur serta memastikan penyampaian dasar dengan lebih berkesan kepada rakyat.
Muhammad Kamil ketika mengulas mengenai karnival itu memaklumkan ia disertai lebih 10,000 pengunjung dari seluruh Perak sepanjang dua hari penganjuran bermula Sabtu lepas.
Beliau berkata objektif utama penganjuran adalah untuk memperkasakan peranan agensi bagi menyemarakkan aktiviti Islamik dan kerohanian dalam komuniti, di samping memupuk semangat hijrah dalam diri serta masyarakat setempat.
-- BERNAMA