AM

SIARAN 25 JAM BERNAMA SEMPENA HARI MALAYSIA BUKTI PERPADUAN, KECEMERLANGAN KEWARTAWANAN - TEO

14/07/2025 12:46 PM

KUALA LUMPUR, 14 Julai (Bernama) -- Siaran secara langsung pelbagai bahasa tanpa henti selama 25 jam oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang mencipta rekod sempena Hari Malaysia 2019 menjadi bukti komitmen agensi itu terhadap perpaduan, kepelbagaian bahasa dan kecemerlangan dalam bidang kewartawanan.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching hari ini berkata Bernama terus menyinar dengan siri televisyen terbaharu mereka Malaysia Luar Biasa, yang dijadualkan bersiaran mulai 26 Ogos 2025.

Siri berkenaan menampilkan rakyat Malaysia yang luar biasa seperti pelari menara Soh Wai Ching, rangkaian pasar borong dan runcit tempatan 24/7 ST Rosyam Mart dan rakyat Malaysia pertama yang menawan Gunung Everest Datuk M. Magendran.

“Tahniah sekali lagi kepada Bernama dan Malaysia Book of Records (MBR) kerana terus mengangkat kisah-kisah hebat rakyat Malaysia. Semoga mencapai 10,000 rekod dan terus mencipta pencapaian membanggakan dari setiap pelosok negara tercinta,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Pada Jumaat lepas, Bernama menerima penghargaan Media dan Persatuan daripada MBR, yang diterima oleh Ketua Pegawai Eksekutif Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

Sementara itu, Teo berkata beliau berasa sangat berbesar hati merasmikan sambutan ulang tahun ke-30 MBR, yang disifatkan sebagai lambang kebanggaan terhadap semangat dan pencapaian rakyat Malaysia.

Beliau turut memaklumkan sejak 1995, MBR telah mengiktiraf hampir 8,000 rekod yang mempamerkan kehebatan rakyat Malaysia dalam bidang sains, inovasi, sukan, seni dan budaya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan