AM

SAMBUTAN MINGGU PERPADUAN PLATFORM PUPUK SEMANGAT PERPADUAN, WUJUD RUANG INTEGRASI

14/07/2025 02:22 PM

GEORGE TOWN, 14 Julai (Bernama) -- Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) Peringkat Kebangsaan 2025 selama empat hari bermula Khamis ini, merupakan platform penting memupuk semangat perpaduan dan mewujudkan ruang integrasi baharu yang lebih bermakna hingga ke peringkat akar umbi.

Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Pulau Pinang Rohai Zahar Nedi berkata Pulau Pinang, selaku tuan rumah SMP 2025 Kebangsaan menampilkan pelbagai program menarik merangkumi aktiviti sukan, kebudayaan dan kesenian bagi tujuan tersebut.

Antaranya ialah pameran Rumah Kami melibatkan 24 etnik dari seluruh negara, perkampungan rumah panjang Kadazandusun dan perkampungan rumah Orang Asli, pameran muzium dan persembahan Malam Irama Sama-Sama Kita yang menampilkan artis terkenal negara.

Turut diadakan ialah pameran oleh kementerian, agensi, pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO), jualan MADANI, foodunites serta tawaran pengurangan kompaun saman.

“Melalui pelaksanaan program tersebut, kita dapat mewujudkan ruang kebersamaan dan interaksi aktif merentasi kaum dan generasi. Inilah yang menjadi asas penting dalam merapatkan jurang sosial, membina empati dan menyemai semangat muhibah.

“Lebih penting pelaksanaan SMP mengarusperdanakan konsep Faham, Hormat dan Terima, iaitu rakyat bukan sahaja memahami latar belakang dan budaya satu sama lain, tetapi turut menghormati perbezaan serta menerima kepelbagaian sebagai kekuatan bersama,” katanya dalam wawancara bersama Stesen Radio MutiaraFM hari ini.

Rohai Zahar berkata menerusi pendekatan itu, SMP bukan sahaja memperkukuh jati diri nasional, malah turut berperanan memelihara ekosistem perpaduan negara secara lestari dan berterusan.

Usaha tersebut sekali gus menjadikan agenda perpaduan bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata, tetapi amanah bersama yang perlu digalas seluruh rakyat Malaysia.

Dalam pada itu, Rohai Zahar berkata Kementerian Perpaduan Negara menganjurkan siri Jelajah Kembara Perpaduan dengan Melaka sebagai lokasi pertama pada 4 dan 5 April, diikuti beberapa negeri lagi iaitu Kedah, Kelantan, Johor, Perlis, Terengganu dan Sabah bagi menyemarakkan promosi SMP.  

SMP 2025 Peringkat Kebangsaan berlangsung di Stadium Batu Kawan, dengan kemuncak sambutan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10.30 pagi, 19 Julai.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan