AM

MALAYSIA CADANG HANTAR LEBIH RAMAI PELAJAR TAJAAN KE NZ - TPM AHMAD ZAHID

14/07/2025 05:25 PM

Daripada Ahmad Erwan Othman

AUCKLAND, 14 Julai (Bernama) -- Malaysia bersedia menambah 100 lagi pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) ke New Zealand susulan sekatan penempatan pelajar tajaan di Amerika Syarikat.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beberapa universiti di New Zealand, telah menyatakan kesediaan menerima pelajar Malaysia, sejajar dengan usaha kerajaan memperluas destinasi pendidikan luar negara yang lebih kompetitif dan berdaya saing.

“Beberapa universiti di New Zealand telah menawarkan tempat kepada pelajar tajaan MARA dan mungkin juga tajaan daripada Petronas dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan agensi lain.

“Saya telah meletakkan KPI (petunjuk prestasi utama) kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di New Zealand (Mazita Marzuki), untuk menjayakan usaha ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi libat urus Majlis Perniagaan ASEAN-New Zealand (ANZBC), di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata pada ketika ini, terdapat 690 pelajar Malaysia berada di New Zealand, jauh lebih rendah berbanding dahulu, antara lain disebabkan tawaran kursus yang lebih meluas di dalam negara serta peningkatan kos pengajian di luar negara.

“Saya berharap perkembangan baharu ini, akan meningkatkan semula jumlah pelajar Malaysia di sini,” katanya.

Mengulas usaha menarik pelajar New Zealand ke Malaysia, Ahmad Zahid berkata ketika ini hanya 20 pelajar New Zealand sedang melanjutkan pengajian di Malaysia.

Beliau berkata usaha tersebut perlu dipergiat menerusi penawaran kursus jangka pendek antara tiga hingga enam bulan, dengan kerjasama institusi seperti Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM).

“Jika ada tajaan daripada agensi dan kerajaan New Zealand, kita boleh ambil lebih ramai pelajar (mereka) terutamanya dalam bidang teknikal dan Pendidikan Dan Latihan Teknikal & Vokasional (TVET),” katanya.

Ahmad Zahid berkata ketika ini terdapat enam universiti teknikal di bawah Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), yang diiktiraf Majlis TVET Negara dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), sebagai antara pilihan utama pelajar asing yang berminat dalam pendidikan teknikal.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa TVET Negara, turut menekankan potensi kerjasama dalam bidang teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui, yang  merupakan kekuatan utama New Zealand dengan 87 peratus tenaga negara itu dijana daripada sumber tenaga boleh diperbaharui.

“Bidang ini penting untuk pelajar kejuruteraan kita. Malaysia sudah mula memfokuskan kepada tenaga hijau, tetapi pendedahan kepada teknologi baharu seperti di sini amat diperlukan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata Malaysia boleh menjadi rakan strategik dalam perkongsian bidang teknologi, memandangkan negara memiliki 1,398 institusi TVET yang merangkumi pelbagai sektor dan berada di bawah selian 17 kementerian.

Sehubungan itu beliau menyarankan agar program pertukaran pelajar diaktif semula dengan sokongan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di New Zealand, bagi memperincikan bidang pengajian yang sesuai.

Ahmad Zahid kini dalam rangka lawatan kerja lima hari ke New Zealand bermula hari ini, sebagai komitmen berterusan kerajaan untuk memperkukuh hubungan dua hala yang telah terjalin erat selama 68 tahun.

Lawatan itu turut memberi fokus kepada penerokaan kerjasama strategik dalam pelbagai bidang termasuk pertahanan, pertanian, pendidikan dan industri halal.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan