SEPANG, 14 Julai (Bernama) -- Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menolak kemasukan 131 warga asing di Terminal 1 di sini pada Jumaat lepas kerana gagal memenuhi syarat kemasukan.
Antara pelanggaran yang dikenal pasti termasuk tempahan penginapan meragukan, kegagalan melapor diri di kaunter imigresen, dan membawa wang sara diri yang tidak mencukupi.
"Isu kewangan ini penunjuk utama niat sebenar pelawat. Sebagai contoh, ada yang mendakwa ingin tinggal selama sebulan tetapi hanya membawa wang sekitar RM500 sekali gus menimbulkan keraguan terhadap tujuan mereka.
"Ini selaras dengan prinsip imigresen antarabangsa, iaitu pelawat mesti membuktikan mereka tidak akan menjadi beban kepada negara yang dikunjungi," menurut kenyataan AKPS hari ini.
Dalam operasi dari 3 petang hingga 10 malam pada Jumaat lepas, lebih 300 warganegara asing telah diperiksa di Balai Ketibaan Antarabangsa dan Pintu Perlepasan C1 hingga C37.
Daripada jumlah itu, sebanyak 96 lelaki dari Bangladesh, 30 lelaki dari Pakistan, serta lima warga Indonesia, iaitu empat lelaki dan seorang wanita, didapati tidak mematuhi syarat ditetapkan.
Dalam pada itu, pihak AKPS KLIA menegaskan bahawa keselamatan dan kedaulatan sempadan negara akan terus menjadi keutamaan.
Sebarang percubaan untuk masuk ke Malaysia melalui pemalsuan dokumen atau tujuan yang meragukan akan dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi.
"Justeru, semua pelawat asing dinasihatkan supaya memastikan dokumen perjalanan, perancangan penginapan serta sumber kewangan mereka adalah lengkap, tulen dan munasabah sebelum tiba di Malaysia," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA