KUANTAN, 14 Julai (Bernama) -- Seorang buruh binaan warga Indonesia yang dilaporkan hilang ketika memancing udang di Sungai Lengkor, Sri Makmur semalam, ditemukan lemas pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Pekan Supt Mohd Zaidi Mat Zin berkata mangsa dikenali sebagai Fahrol, 37, ditemukan pada 9.10 pagi oleh penduduk kampung, kira-kira 28 kilometer dari lokasi dilaporkan hilang.
“Kejadian berlaku pada 1 pagi Ahad, selepas bot dinaiki mangsa bersama tiga rakan terlanggar sebatang kayu besar berhampiran Kampung Sungai Pinang yang menyebabkan mereka tercampak ke dalam sungai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Zaidi berkata rakan mangsa yang berjaya naik semula ke bot, gagal menemukan mangsa walaupun mencari di sekitar sungai berkenaan.
Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pekan.
Operasi mencari dan menyelamat melibatkan 53 pegawai dan anggota terdiri daripada polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta penduduk kampung.
-- BERNAMA