Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 14 Julai (Bernama) -- Singapura pada Isnin melancarkan pakej Sokongan Kesediaan ASEAN Singapura–Timor-Leste (STARS) yang dipertingkat bagi menyokong penyertaan negara itu ke dalam blok serantau dan pembangunan jangka panjangnya.
Perdana Menteri Lawrence Wong berkata pakej yang dipertingkat itu merangkumi sokongan yang disesuaikan bagi memudahkan penyertaan Timor-Leste dalam perjanjian utama ASEAN, latihan khusus dalam bidang yang selaras dengan keutamaan negara itu, serta program pembangunan kepimpinan dan biasiswa untuk melahirkan barisan pemimpin masa depan.
“Penyertaan Timor-Leste ke dalam ASEAN yang bakal berlangsung merupakan detik penting, baik untuk negara anda mahupun bagi ASEAN.
“Singapura amat mengalu-alukan penyertaan anda ke dalam keluarga ASEAN, dan kami akan terus berdiri bersama anda dalam perjalanan ini,” kata Wong pada majlis makan tengah hari rasmi yang beliau hoskan bagi menghormati Perdana Menteri Timor-Leste Kay Rala Xanana Gusmao pada Isnin.
Wong berkata Singapura melancarkan pakej STARS pada 2002 sebagai inisiatif yang direka khas untuk memperkasakan pegawai Timor-Leste dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan bagi keahlian ASEAN.
Menurut Kementerian Luar Singapura, lebih 1,100 pegawai Timor-Leste telah menyertai kursus di bawah Program Kerjasama Singapura dan pakej STARS setakat ini.
Gusmao tiba di Singapura pada Ahad bagi lawatan rasmi kedua beliau ke republik itu yang akan berlangsung sehingga Rabu.
Beliau diiringi oleh Timbalan Perdana Menteri I merangkap Menteri Koordinasi Hal Ehwal Ekonomi serta Menteri Pelancongan dan Alam Sekitar Francisco Kalbuadi Lay serta Menteri Luar dan Kerjasama Bendito dos Santos Freitas.
Timor-Leste dijangka diterima secara rasmi sebagai anggota ke-11 ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadual berlangsung Oktober ini di Kuala Lumpur.
Menerusi Kenyataan Bersama yang dikeluarkan selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58, para menteri menyatakan komitmen mereka untuk menyokong Timor-Leste mempercepat penyertaannya ke dalam perjanjian-perjanjian ekonomi utama ASEAN bagi memudahkan integrasi sepenuhnya ke blok serantau itu.
-- BERNAMA