KUALA LUMPUR, 14 Julai (Bernama) -- Program Citra Negaraku 2025 yang melibatkan enam Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) bermatlamat memperkukuh nilai-nilai kenegaraan dan menyemai semangat patriotisme dalam kalangan mahasiswa.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata IPT yang terlibat dalam program bertemakan "Menjiwai Rukun Negara" itu terdiri daripada UCSI College, Institusi Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh, Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail, Universiti College Tati (UC TATI), Kolej Geomatika Keningau dan Universiti Putra Malaysia Sarawak.
Beliau berkata setiap IPT tersebut diberikan peruntukan RM20,000 untuk menjalankan aktiviti merangkumi empat pengisian utama iaitu Bicara Perpaduan, Ekspresi Perpaduan, Sekretariat Rukun Negara (SRN) Prihatin dan Jejak Rukun Negara.
“Program ini adalah seiring dengan usaha untuk meningkatkan penghayatan dan pengamalan terhadap cita-cita dan prinsip-prinsip Rukun Negara dalam kehidupan seharian sebagai asas kepada kestabilan dan keharmonian negara,” katanya dalam majlis pelancaran program berkenaan, di sebuah hotel di sini, hari ini.
Menurutnya program itu juga bertujuan melatih mahasiswa sebagai penggerak utama dasar perpaduan negara.
Sementara itu, Aaron dalam kenyataan turut memaklumkan hasrat kementerian untuk memperluas pelaksanaan program tersebut kepada semua 193 Sekretariat Rukun Negara di seluruh negara menjelang tahun depan.
Beliau berkata Kementerian Perpaduan Negara percaya mahasiswa hari ini mampu mengangkat semangat kenegaraan dan menyemai perpaduan dalam tindakan menerusi dialog, kolaborasi rentas kaum serta penglibatan dalam isu-isu sosial.
“Komitmen ini perlu diteruskan agar perpaduan bukan sekadar slogan, tetapi menjadi budaya hidup yang terpahat dalam sanubari setiap rakyat Malaysia,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA