AM

MOHD NAI'M TERIMA KUNJUNGAN PENDAKWAH PAKISTAN

14/07/2025 09:31 PM

KUALA LUMPUR, 14 Julai (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar hari ini menerima kunjungan ulama dan pendakwah berpengaruh dari Pakistan, Sheikh Maulana Tariq Jamil.

Mohd Na'im menerusi hantaran di platform X  berkata dalam pertemuan bersama Sheikh Tariq Jamil beserta rombongan dari Maahad Tahfiz Miftahil Ulum itu, mereka berbincang mengenai usaha bersama dalam memperkukuh jaringan dakwah dan pendidikan Islam di peringkat global, khususnya dalam melahirkan generasi huffaz dan ulama yang berakhlak mulia.

“Semoga ukhuwah (persaudaraan) ini menjadi titik tolak kepada kerjasama lebih erat antara Malaysia dan Pakistan dalam memartabatkan Islam sebagai agama yang membawa rahmat ke seluruh alam,” katanya.

Mohd Na'im berkata Sheikh Tariq Jamil bukan sahaja terkenal dengan khutbah dan dakwah yang menyentuh hati, bahkan turut aktif dalam misi kemanusiaan menerusi MTJ Foundation serta usaha pendidikan Islam menerusi institusi Jamia Al-Hasanain.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan