KOTA KINABALU, 14 Julai (Bernama) -- Masalah bekalan air yang membelenggu pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) mendapat perhatian segera Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) apabila institusi itu menjadi lokasi pertama dikunjungi dalam program PETRA Skuad hari ini.
Program tinjauan berkenaan disertai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri PETRA Datuk Seri Fadillah Yusof, bersama timbalannya Akmal Nasrullah Mohd Nasir serta Ketua Setiausaha PETRA Datuk Mad Zaidi Mohd Karli.
Tinjauan yang bermula jam 11 pagi itu turut melibatkan empat lokasi lain, iaitu Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Damai Basin 8 di Likas; Pencawang Masuk Utama Kota Kinabalu di Tanjung Aru; Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) bagi projek solar bumbung; serta Skim Pembetungan Putatan Fasa I.
Menurut Fadillah, kerajaan Persekutuan komited menangani isu gangguan bekalan air di UMS dengan melaksanakan pelan intervensi jangka pendek berjumlah RM1 juta yang akan dilaksanakan melalui kerjasama Jabatan Air Negeri Sabah, PETRA dan pihak universiti.
Katanya pelan intervensi itu bakal memberi manfaat kepada lebih 3,000 pelajar, khususnya di Kolej Kediaman Tun Mustapha serta Kolej Kediaman Tun Fuad yang sering terjejas akibat gangguan bekalan air.
“Pelan ini melibatkan pembinaan saluran agihan khusus untuk menyambungkan sumber air bawah tanah sedia ada, penambahan tangki simpanan air bawah tanah berkapasiti 0.13 juta liter, serta pemasangan injap kawalan automatik,” katanya.
Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Kasim Mansor.
Sementara itu, di RTB Sungai Damai Basin 8, Fadillah berkata projek bernilai RM48 juta itu telah mencapai kemajuan fizikal sebanyak 54 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada Julai 2026.
“Apabila siap kelak, ia mampu melindungi seramai 17,500 penduduk daripada risiko banjir melalui kerja menaik taraf sistem saliran, pembinaan rumah pam, pembetung jalan serta pintu kawalan banjir,” katanya.
Dalam lawatan ke Pencawang Masuk Utama Kota Kinabalu pula, PETRA menyerahkan tujuh projek sektor tenaga bagi Sabah dan Labuan yang membabitkan kos lebih RM260 juta di bawah Pasukan Khas Projek Bekalan Elektrik Sabah.
Projek itu akan memberi manfaat kepada 60,434 pengguna dengan pelaksanaan kerja menaik taraf pencawang, sambungan talian grid baharu serta pemasangan sistem pemantauan keselamatan di beberapa daerah termasuk Sipitang, Beaufort, Tanjung Aru, Ranau, Sandakan dan Labuan.
Bagi pemasangan solar bumbung di KKIA, projek tersebut diluluskan Suruhanjaya Tenaga pada 2022 sebelum pemindahan kuasa pembekalan elektrik diserahkan semula kepada Kerajaan Sabah.
Kini diselia Suruhanjaya Tenaga Sabah, sistem yang dibangunkan menerusi Program Solar for Self-Consumption itu merangkumi 8,400 modul fotovolta di tiga bumbung bangunan dan dijangka mampu menjana sehingga 5,325.7 megawatt-jam (MWj) tenaga elektrik hijau setahun serta mengurangkan pelepasan karbon dioksida sebanyak 4,046 tan metrik.
Tinjauan diakhiri dengan lawatan ke projek Skim Pembetungan Putatan Fasa I yang kini mencatat kemajuan fizikal sebanyak 69.85 peratus. Projek bernilai RM134 juta yang dimulakan pada Disember 2020 itu dijadual siap pada Mac 2026.
Ia dijangka meningkatkan keupayaan sistem pembetungan di kawasan Putatan, selain menyumbang kepada kesejahteraan awam, kelestarian alam sekitar serta pembangunan infrastruktur asas di daerah berkenaan.
-- BERNAMA