PUTRAJAYA, (Bernama) 15 Julai -- Usaha memerangi rasuah bukanlah tugas mudah dan tidak hanya bergantung kepada undang-undang serta dasar sedia ada tetapi menuntut kepada integriti, keberanian serta usaha kolektif walaupun dalam situasi mencabar.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, kejayaan dalam menangani rasuah turut memerlukan penguatkuasaan yang konsisten, institusi kukuh serta individu yang berani bersuara dan memimpin melalui teladan.
“Perubahan yang signifikan tidak berlaku serta-merta, namun dengan komitmen, kerjasama dan nilai-nilai yang betul, ia boleh dicapai,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sempena Bengkel International Anti-Corruption Academy (IACA) Regional Summer Academy (ASIA) di Hotel Berjaya Times Square di Kuala Lumpur, semalam.
Tan Sri Azam turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada IACA di atas penganjuran bengkel ini yang berjaya memupuk perkongsian ilmu dan semangat dalam memerangi rasuah rentas sempadan.
Beliau berkata, IACA boleh dijadikan platform untuk memperkukuhkan pemahaman dan keupayaan peserta untuk menghadapi cabaran rasuah selain mengetengahkan amalan terbaik serta strategi antirasuah melalui perkongsian pengalaman daripada pakar industri.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Dato’ Sri Azalina Othman Said; Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zamri Misman; Penasihat IACA, Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Pengarah-Pengarah Bahagian SPRM.
-- BERNAMA