GEORGE TOWN, 15 Julai (Bernama) -- Hakisan tanah dari kawasan bukit berhampiran didakwa menyebabkan air laut di perairan Kampung Teluk Nipah, Kuala Muda, Kedah berwarna merah dan berlumpur sekali gus menjejaskan sumber pendapatan hampir 100 nelayan pantai di situ.
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) Mohideen Abdul Kader berkata kejadian itu lebih serius ketika ombak besar membadai kawasan penambakan dan hujan lebat menghakis tanah dari bukit yang diteroka.
“Jika tindakan pencegahan tidak diambil, cerun bukit terlibat mungkin runtuh dan masalah alam sekitar lebih teruk akan berlaku.
“Jika punca masalah ini dibiarkan, kesan terhadap alam sekitar dan kehidupan nelayan tempatan akan terjejas dengan lebih serius pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohideen berkata pencemaran laut dan mendapan sisa lumpur juga boleh menyebabkan hidupan laut mengalami kepupusan.
Keadaan itu berkemungkinan menyebabkan kawasan sekitar jeti nelayan menjadi cetek, seterusnya menyukarkan komuniti itu untuk ke laut, mendaratkan hasil tangkapan dan melabuhkan perahu.
Sehubungan itu, Mohideen meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh serta mengambil tindakan agar kejadian itu tidak terus mencemarkan alam sekitar dan mengancam kehidupan nelayan.
“CAP juga memohon agar benteng cegah hakisan dibina segera di lokasi terlibat bagi mengelak sisa lumpur mengalir ke laut dan mencemarkan kawasan perikanan tempat nelayan pantai mencari rezeki,” katanya.
-- BERNAMA