KOTA BHARU, 15 Julai (Bernama) -- Persidangan Meja Bulat Pelancongan Masjid (MTRT) 2025 bukan sekadar platform perbincangan, tetapi berperanan sebagai medium pendedahan dan kesedaran kepada pengurusan masjid mengenai potensi besar sebagai produk pelancongan berteraskan spiritual, sejarah dan komuniti.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata sesi perkongsian dan libat urus yang dijalankan menunjukkan kesediaan masjid-masjid untuk menambah baik kemudahan, perkhidmatan serta pendekatan dalam menerima kunjungan pelawat dari seluruh negara tanpa mengira agama dan bangsa.
“Pelancongan masjid seharusnya dilihat sebagai jambatan yang menghubungkan pengunjung dengan nilai, warisan dan kesederhanaan Islam, di samping menggalakkan dialog antara budaya dan agama.
“Dengan komitmen pihak berkuasa tempatan dan usaha bersepadu semua pihak, saya yakin Malaysia mampu menjadi peneraju global dalam bidang pelancongan,” katanya kepada Bernama.
Mengulas lanjut, Khairul Firdaus berkata dalam konteks Malaysia sebagai peneraju pelancongan Islam dunia, visi jangka panjang pihaknya adalah menjadikan masjid antara produk pelancongan utama yang memaparkan kekayaan warisan, seni bina dan nilai universal Islam.
“Kita mempunyai pelbagai masjid dengan seni bina yang mengagumkan dan sejarah yang penuh makna daripada masjid berusia ratusan tahun hingga reka bentuk moden yang mencerminkan kemajuan negara.
“Namun, keindahan fizikal ini perlu disertai dengan cara penyampaian yang lebih berkesan agar pelancong dapat memahami nilai budaya, spiritual dan sosial yang terkandung di sebalik masjid itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Islamic Tourism Centre (ITC) komited memperluas penglibatan masjid dalam sektor pelancongan termasuk masjid-masjid di kawasan luar bandar dan negeri-negeri yang mempunyai potensi pelancongan tersendiri.
“Selain itu, kami turut menggalakkan kolaborasi yang lebih erat antara masjid dan pemain industri seperti agensi pelancongan, hotel-hotel dan pihak berkuasa tempatan.
“Di sinilah peranan MOTAC dan agensi di bawahnya termasuk ITC boleh menjadi jambatan yang menyatukan semua pihak supaya masjid dapat memainkan peranan yang lebih aktif dalam memperkaya pengalaman pelancongan dan menghidupkan ekonomi setempat,” katanya.
MTRT 2025 di Kota Bharu, berlangsung selama tiga hari bermula 13 Julai lepas adalah edisi keempat sejak 2016 dan anjuran ITC bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang menghimpunkan lebih 90 pengurus serta sukarelawan masjid seluruh negara bagi memperkukuh peranan masjid sebagai mercu tanda pelancongan rohani inklusif.
Sementara itu, Imam Besar Masjid Negara Ehsan Mohd Hosni berkata persidangan itu membantu pengurusan masjid memberikan khidmat terbaik kepada pengunjung serta memperkukuh penyebaran syiar Islam dalam konteks dakwah secara menyeluruh.
“Dari segi penggunaan teknologi, kita mestilah selari dengan saranan kerajaan dari sudut pendigitalan dan kita dapat lihat banyak masjid juga sudah menggunakan media sosial sebagai platform untuk mempromosikan produk serta keunikan yang ada di masjid mereka untuk menarik lebih ramai pengunjung,” katanya.
Imam Besar Masjid Seri Sendayan di Negeri Sembilan Mohd Nazri Abu Zarim pula berkata persidangan itu amat bersesuaian dan tepat pada masanya dengan mengambil peluang sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 untuk menambah ilmu dalam menarik pelancong domestik dan antarabangsa.
“Masjid kami memang sudah lama mengamalkan konsep keterbukaan dan persidangan ini memberi ruang dan peluang kepada kami untuk menambah baik segala keperluan dari semasa ke semasa bagi memastikan pengunjung yang hadir berasa selesa dengan layanan yang diberikan,” katanya.
-- BERNAMA